Simpan Emas, Pandu EV Percuma: DMS Gold Lancar Inisiatif ‘Simpan & Pandu’ Bebas Hutang
- oleh MDaily Editor
- 12 Dec 2025 7:14 pm
DMS Gold hari ini melancarkan satu inisiatif perintis dalam pasaran automotif dan simpanan negara, iaitu Program Simpan & Pandu, yang membolehkan rakyat Malaysia memandu kenderaan elektrik (EV) tanpa sebarang beban hutang atau bayaran ansuran bulanan.
Program unik ini, yang merupakan kerjasama strategik dengan DMS Motors dan Koperasi Usaha Maju Berhad (KOMAJU), menggabungkan konsep simpanan emas yang berdisiplin dengan manfaat penggunaan kenderaan elektrik secara percuma.
Pengarah DMS Motors, Dato’ Mohd Ali Majis, berkata program ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertujuan membantu masyarakat menikmati mobiliti lestari sambil menggalakkan simpanan emas sebagai aset masa depan.

“Kita merupakan yang pertama di Malaysia yang mewujudkan inisiatif di mana orang boleh simpan emas dan boleh pandu kereta secara percuma. Program ini bukan sahaja dapat membantu masyarakat untuk memandu kereta EV, tetapi juga menggalakkan budaya menyimpan emas,” katanya dalam majlis perasmian hari ini.
Dato’ Mohd Ali menjelaskan, Program ‘Simpan & Pandu’ menawarkan pakej penggunaan kenderaan yang komprehensif tanpa melibatkan sebarang kos bulanan. Ini termasuk ansuran percuma, penyelenggaraan percuma, dan cukai jalan percuma.
Beliau menegaskan, program ini berasaskan hak penggunaan, bukannya pemilikan, di mana DMS Motors akan menguruskan pendaftaran, insurans, cukai jalan, dan penyelenggaraan terpilih.
“Kami menyasarkan peluang ini kepada golongan B40 dan M40 kerana ia adalah peluang yang sukar untuk didapati. Kita boleh bawa kereta dengan tak ada bayaran bulanan, dan dah tak perlu fikir pasal penyelenggaraan,” tambah beliau.
Penyertaan dalam program ini ditentukan melalui jumlah simpanan emas yang dibuat. Simpanan 50 gram emas melayakkan penggunaan model EV yang lebih kecil, manakala simpanan 100 gram emas melayakkan penggunaan model SUV EV.
Penasihat Syariah DMS Group, Ustaz Asyraf yang turut hadir, mengesahkan bahawa program ini adalah patuh syariah dan bebas daripada unsur riba yang melibatkan pinjaman konvensional.

“Secara sudut syariah, dengan simpanan emas, kita terlepas daripada riba. Simpanan emas adalah selari dengan hadis Nabi SAW kerana duit akan susut nilai, tetapi emas makin lama makin naik nilainya,” jelas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif, DMS Motors, Dato’ Salim Rahman, menekankan bahawa emas adalah aset yang menjana keuntungan dan pada masa sama membolehkan pelanggan menggunakan kereta secara percuma, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif, DMS Motors, Dato’ Salim Rahman (kanan) bersama ibu tercinta.
“Simpanan emas akan menjana lebih keuntungan kepada yang menyimpan, dan pada masa sama, dapat guna kereta secara percuma. Lepas setahun, pelanggan boleh pilih untuk tukar kepada model baharu atau mengambil balik emas mereka,” katanya.
Majlis pelancaran hari ini turut menyaksikan penyerahan kunci kenderaan EV kepada beberapa pelanggan terawal, menandakan kejayaan fasa pengenalan pasaran DMS Gold.
DMS Gold kini beroperasi dengan KOMAJU sebagai korporasi pengurusan dan sedang merancang untuk mengembangkan program ini ke seluruh negara, dengan Perak menjadi sasaran seterusnya.




