Ikuti Kami:

Silent Death ‘Langgar’ KL Selepas 8 Tahun

Silent Death ‘Langgar’ KL Selepas 8 Tahun

Setelah lapan tahun menyepi daripada pentas ibu negara, kumpulan death metal tempatan, Silent Death akhirnya membuat kemunculan semula yang dinanti-nantikan peminat tegar mereka di pentas Darkness Conspiracy Vol. 2 yang berlangsung di sini, malam tadi.

Kali terakhir band ini membuat persembahan di Kuala Lumpur adalah pada 2017.

Dianjurkan oleh 3 Titik Hitam Productions dengan kerjasama Goatlordth Records, Black Label Production dan Astaka Arungan ini bermula sejak petang dan menampilkan persembahan kumpulan seperti 302, Sindraz, G.M.C, Antaboga, Numeron dan Finsmoonth sebelum giliran Silent Death mengambil alih pentas.

Tepat jam 10 malam, dewan bergema dengan hentakan drum berganda, riff gitar deras dan vokal lantang ketika Silent Death memulakan set mereka dengan “Preacher of the Dark”.


Sorakan semakin padu apabila mereka membawakan “Morbid Massacre” diikuti “Mati Senyap” sebagai penghormatan kepada arwah Stone.

Kemunculan kali ini menjadi detik penuh emosi buat ahli kumpulan, khususnya vokalis Zizi Hashim yang kelihatan terharu menyaksikan sokongan luar biasa ratusan peminat muzik keras dari seluruh negara.

“Terima kasih kepada semua yang hadir meraikan kemunculan semula Silent Death di Kuala Lumpur selepas lapan tahun. Sokongan anda adalah semangat kami untuk terus berkarya,” katanya.

Selain “Armageddon” yang menjadi satu-satunya lagu tanpa tema kematian, peminat turut dihidangkan dengan “Lipas Terbang” dan “Paranoid” sebelum menutup persembahan secara bertenaga dengan “Dying Moment”.

Kemunculan semula ini bukan sahaja menghidupkan kembali nama Silent Death di pentas muzik, malah turut menyaksikan kembalinya legenda asal kumpulan tersebut, Ollie, setelah 25 tahun menyepi.

Barisan semasa Silent Death terdiri daripada Ollie (dram), Zizi Hashim (vokal), Mie FTG (bass), Awai (gitar) dan Emwai (gitar).

Terdahulu, Silent Death tampil buat pertama kali di pentas The Resurrection of Emergence: Live in Bagan yang berlangsung di Mie Thrash Studio, Bagan, Pulau Pinang pada Mei lalu.

Mereka juga telah merakam semula lagu “Morbid Massacre” bersama beberapa trek daripada EP Break The Silence (1997) sebagai langkah merapatkan jurang antara peminat lama dan generasi baharu, sekaligus memastikan warisan death metal bawah tanah Malaysia terus hidup dan relevan.

Komen
Loading...