Kumpulan death metal lagenda tempatan, Silent Death, bersedia untuk menggegarkan peminat muzik keras di selatan tanah air dengan persembahan sulung mereka di negeri ini, yang dijadualkan berlangsung di Embrace Hall, Johor Bahru, pada 20 Disember 2025.
Gig yang diberi judul “Comeback From Forgotten” ini dianjurkan oleh Bunyi Jahat Production dan disifatkan sebagai kemunculan semula yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat muzik bawah tanah (underground) di rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada siri jelajah ini, Silent Death juga mengesahkan akan meneruskan momentum persembahan mereka di Loka Suara, Batam, Indonesia, pada keesokan harinya, 21 Disember 2025.

Vokalis kumpulan itu, Zizi Hashim, menyatakan bahawa mereka telah membuat persiapan rapi dengan menyusun senarai lagu khas bagi kemunculan pertama mereka di Selatan Malaysia.
”Jangkaan tentunya gig ini akan jadi gempak, sebab setelah sekian lama Ollie tidak bermain di Johor Bahru dan Batam, Indonesia.
Kami tahu Silent Death ramai peminat setia di sini, jadi kami harap ramai-ramai boleh turun support sebab tak tahu bila lagi Silent Death akan turun Selatan,” katanya.

Zizi turut merujuk kepada kembalinya Ollie (dram), anggota lama yang pernah terlibat dalam rakaman album pertama kumpulan itu pada tahun 1992, menambah nostalgia dan keistimewaan persembahan comeback ini.
Bagaimanapun, persembahan mereka di Singapura yang asalnya dijadualkan pada 14 Disember terpaksa ditangguhkan ke Januari 2026 disebabkan oleh isu logistik.
Silent Death yang kini dibarisi Olie (Drum), Zizi (vokal), Emwai (gitar), Awai (gitar) dan Mie (bass).




