Sidang Kemuncak E-Dagang BigSeller 2026: 1,000 Peniaga Teroka Potensi AI
- oleh MDaily Editor
- 14 May 2026 5:56 pm
Lebih 1,000 peniaga e-dagang terkemuka dari seluruh negara berkumpul bagi meneroka revolusi kecerdasan buatan (AI) dan strategi pertumbuhan omnisaluran dalam Sidang Kemuncak E-Dagang BigSeller Malaysia yang kedua, di sini, semalam.
Bertemakan “Break Boundaries. Unlock Omnichannel Growth”, acara yang berlangsung di InterContinental Kuala Lumpur itu menjadi platform utama yang menyatukan pemimpin industri daripada gergasi teknologi seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop, Meta, dan Shopify.
Ketua Pegawai Eksekutif BigSeller, Shirley Xie berkata, landskap e-dagang hari ini menuntut peniaga untuk tidak hanya bergantung kepada satu platform, sebaliknya bijak mengintegrasikan pelbagai saluran jualan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang.

“Pasaran kini bergerak lebih pantas dan e-dagang terus berevolusi. Ia bukan sekadar memilih platform yang betul, tetapi bagaimana untuk menghubungkan platform yang berbeza, memudahkan operasi, dan membina perniagaan di setiap saluran yang tersedia,” katanya ketika merasmikan sidang kemuncak tersebut.
Dalam majlis yang sama, Xie turut mengumumkan pelan pengembangan strategik BigSeller di Malaysia dengan pembukaan pejabat baharu di Pulau Pinang tidak lama lagi. Langkah itu bakal melengkapkan rangkaian sokongan sedia ada syarikat berkenaan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Sementara itu, sidang kemuncak tersebut turut menumpukan kepada penggunaan AI dalam meningkatkan jualan.

Wakil TikTok Shop Malaysia dalam sesinya menekankan bahawa alat kempen berkuasa AI seperti ‘GMV Max’ kini membolehkan peniaga menghasilkan video produk dan menjalankan penstriman langsung (live) 24 jam sehari secara automatik menerusi ‘Symphony Creative Studio’.
Bagi mengukuhkan kecekapan operasi, Ketua Pembangunan Perniagaan BigSeller Malaysia, Tan Ren Yi menjelaskan bahawa sistem mereka kini merangkumi penyelesaian menyeluruh daripada perolehan produk melalui 1688, pengurusan gudang, sehinggalah kepada pematuhan e-invois yang diwajibkan kerajaan.
Acara itu turut menampilkan sesi inspirasi daripada pakar industri termasuk Victor Chow (Shopee SuperXpert) dan Shahbaaz Ali (LeapScout) yang berkongsi teknik pengoptimuman harga dan prestasi iklan menggunakan teknologi AI.

Sehingga kini, BigSeller telah dipercayai oleh lebih 1.1 juta peniaga di seluruh Asia Tenggara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi premium bagi platform utama seperti Shopee dan Lazada.
Bagi peniaga yang berminat untuk mengetahui bagaimana BigSeller dapat menyokong pertumbuhan perniagaan e-dagang anda, anda boleh bermula secara percuma dengan melayari laman web rasmi mereka di BigSeller.com
