“Siapa Perlu Tahu” Kembali Dengan Nafas Baru Versi Amir Alif & Elly Yusni
- oleh Mohd Indera
- 25 Jul 2025 12:27 pm

Lagu popular Siapa Perlu Tahu kembali menemui pendengar dalam versi balada yang lebih tenang dan mendalam, hasil kolaborasi istimewa antara penyanyi muda Amir Alif dan penyanyi bersuara lunak, Elly Yusni.
Lagu yang asalnya dilancarkan sebagai trek pop rancak pada tahun 2022 menerusi album sulung Happy & Sad, kini diberi nafas baharu dengan susunan piano yang melankolik dan penyampaian vokal yang lebih jujur.
Versi terbaharu ini menyorot kepedihan yang tersembunyi dalam hubungan toksik, selain menyentuh persoalan batin antara memilih untuk bersuara atau terus memendam rasa.
Gabungan vokal Elly Yusni yang harmoni dan penuh emosi memberi lapisan kelembutan yang memperkuatkan impak lagu ini. Pendekatan minimalis menjadikan versi ini lebih menyentuh, seakan menemani pendengar dalam detik-detik kesepian dan renungan.
Amir berkata susunan baharu ini memberikan ruang untuk mesej lagu itu benar-benar meresap ke jiwa pendengar.
“Kami mahu serlahkan ruang sunyi dalam lagu ini – saat di mana seseorang benar-benar berdepan dengan diri sendiri,” katanya.
Bagi menyokong pelancaran versi baharu ini, Amir turut melancarkan kempen digital menerusi TikTok dengan tanda pagar #SiapaPerluTahu, mengajak peminat berkongsi tentang tahun paling sukar dalam hidup mereka.
Beberapa personaliti media sosial terkenal seperti Malis turut terlibat, manakala penyanyi tempatan seperti Heidi Moru, Dekwa dan Fathia akan memuat naik versi nyanyian semula mereka bagi memperluas capaian lagu secara organik.
Sebagai meraikan pelancaran tersebut, Amir turut menganjurkan sebuah persembahan khas secara tertutup di Sembilan Inci Café, Sentul pada 20 Julai lalu.
Persembahan ini menghimpunkan peminat, media dan penggiat industri muzik dalam suasana intim yang menekankan pengalaman mendengar secara peribadi dan penuh penghayatan.
Lagu Siapa Perlu Tahu (Ballad Version) nyanyian Amir Alif bersama Elly Yusni boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube mulai 18 Julai lalu.
Amir Alif mula mencipta nama sejak tahun 2020 dan semakin dikenali dalam kalangan penggiat muzik pop dan indie tempatan. Beliau pernah membuat persembahan di pentas seperti BigStage Live+, EraFM, RexKL dan turut mewakili Malaysia ke kem penulisan lagu serantau di Bangkok pada 2024.
Dengan gaya penulisan yang tulus dan susunan muzik yang menyentuh jiwa, Amir terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyanyi dan penulis lagu paling menjanjikan di negara ini.