Ikuti Kami:

‘Siapa Kata Tak Beraya? Cuma Tak ‘pos’ Sahaja’ – Bonda Rozita Ibrahim

‘Siapa Kata Tak Beraya? Cuma Tak ‘pos’ Sahaja’ – Bonda Rozita Ibrahim

Pengasas kosmetik terkenal, Bonda Rozita Ibrahim, tampil menyangkal dakwaan netizen yang membuat spekulasi kononnya beliau tidak menyambut Aidilfitri bersama anaknya yang juga usahawan kontroversi, Dato’ Sri Aliff Syukri.

Menerusi satu hantaran video di aplikasi TikTok, pengasas Sendayu Tinggi itu menjelaskan bahawa ketiadaan foto atau video bersama anaknya di platform media sosial bukan bermakna hubungan mereka sedang dilanda badai atau tidak bertemu di hari raya.

Menurut beliau, keputusan untuk tidak memuat naik sebarang hantaran adalah atas pilihan peribadi bagi mengurangkan tumpuan umum buat seketika.

“Bonda, kenapa tak beraya dengan… Kenapa awak sibuknya tak beraya dengan anak Bonda? Kami sekarang sedang membekukan diri di dalam media sosial. Siapa kata tak beraya? Berayalah, cuma tak pos je,” katanya dalam video tersebut.

Mengulas lanjut mengenai istilah ‘membekukan diri’ yang digunakannya, Bonda Rozita memberi gambaran bahawa mereka lebih selesa untuk menikmati momen kekeluargaan secara privasi tanpa perlu berkongsi setiap aktiviti kepada pengikut di media sosial.

Tindakan itu dipercayai diambil bagi mengelakkan sebarang ulasan negatif atau salah faham yang sering timbul dalam kalangan warga maya membabitkan keluarganya.

Sejak kebelakangan ini, keharmonian keluarga usahawan ini sering menjadi perhatian netizen, terutama apabila melibatkan tindak-tanduk Aliff Syukri yang kerap mencetuskan reaksi pelbagai pihak di ruang siber.

Penjelasan Bonda Rozita itu sekali gus menutup mulut segelintir pihak yang gemar membuat andaian mengenai hubungan ibu dan anak tersebut.

Rata-rata pengikut beliau memuji tindakan matang tersebut dan menyifatkan kualiti masa bersama keluarga secara tertutup jauh lebih penting berbanding secara terbuka di media sosial.

Hasil semakan di Instagram mendapati Bonda Rozita sudah tidak lagi mengikuti (unfollow) akaun Dato’ Sri Aliff Syukri dan Datin Sri Shahida.

Loading...