‘Siapa Dia’ Filem Muzikal Sejarah Tampil Nicholas Saputra Nyanyi Dan Menari
- oleh MDaily Editor
- 14 Oct 2025 12:05 am

Dari kiri, penyanyi Ara Johari, penerbit eksekutif Faizal Lubis, penyanyi Ameera Asha, dan pengarah urusan Horizon Film Entertainment, Mohd Shahir Sulaiman.
Pelakon tersohor Indonesia, Nicholas Saputra kembali ke layar perak menerusi filem muzikal drama sejarah berjudul Siapa Dia, arahan pengarah Garin Nugroho, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 16 Oktober 2025.
Filem terbitan Fabis Entertainment dengan edaran oleh Horizon Film Entertainment dan Barnstorm Entertainment ini menampilkan kelainan tersendiri apabila Nicholas bukan sahaja menggalas lebih daripada satu watak, malah tampil menyanyi dan menari sendiri, memperlihatkan sisi baharu pelakon yang pernah mencipta fenomena menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta.
Barisan pelakon turut diperkuat oleh Amanda Rawles (1 Kakak 7 Ponakkan), Ariel Tatum (La Tahzan), Happy Salma (Tebusan Dosa), Morgan Oey (Pengepungan di Bukit Duri), Cindy Nirmala (Pengabdi Setan 2), Widi Mulia dan Gisella Anastasia.
Berkongsi pengalaman mengenai filem muzikal pertamanya, Nicholas mengakui ia sebagai sesuatu yang unik dan mencabar.
“Saya tidak berfikir panjang saat ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini. Modalnya hanya keberanian. Jika difikir memang tidak masuk akal, tetapi saya seronok mencuba sesuatu yang baru dan dapat bekerjasama dengan pemuzik yang hebat,” katanya.
Malam gala tayangan perdana filem ini berlangsung dengan penuh meriah di TGV KLCC malam tadi, dihadiri oleh penerbit eksekutif Faizal Lubis, pengarah urusan Horizon Film Entertainment Mohd Shahir Sulaiman, serta penyanyi runut bunyi Ara Johari dan Ameera Asha.
Menurut Faizal Lubis yang juga pengarah muzik, elemen muzik memainkan peranan penting dalam menghidupkan keseluruhan jalan cerita Siapa Dia.
“Filem ini merentasi pelbagai era termasuk tahun 60-an dan 70-an, jadi muziknya perlu disesuaikan dengan suasana setiap babak,”
“Daripada 35 lagu yang dihasilkan, kami memilih 16 karya terbaik untuk dimuatkan dalam filem ini,”
“Semua pelakon dalam filem ini menyanyi sendiri termasuk Nicholas. Setiap lagu yang penonton dengar adalah suara asal mereka tanpa digantikan oleh penyanyi lain.” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata karya dalam filem ini dirakam oleh City of Prague Philharmonic Orchestra di Prague.
“Lagu-lagu filem ini di inspirasi antaranya dari filem James Bond, dicipta di Jakarta, namun proses rakaman dilakukan di Prague bersama pemuzik orkestra yang sama merakamkan untuk filem Star Wars.” katanya.
Menambah nilai buat penonton Malaysia, Faizal turut menghasilkan runut bunyi khas (OST) untuk tayangan tempatan dengan Ara Johari menyanyikan lagu Cinta Terhebat, manakala Ameera Asha membawakan Menangis Diam Diam.
Filem Siapa Dia mengisahkan tentang Layar (lakonan Nicholas Saputra), seorang pengarah muda yang kehilangan inspirasi untuk menyiapkan projek filem muzikalnya. Bersama penulis skrip Rintik (Amanda Rawles), mereka berusaha mencari idea baharu.
Namun, apabila Layar pulang ke rumah neneknya, sebuah beg berisi catatan dan surat cinta lama membuka kisah romantik dan tragedi keluarga dari generasi terdahulu.
Siapa Dia akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 16 Oktober ini. Jangan lepaskan peluang menyaksikan karya muzikal istimewa ini di layar perak.