Si Penghulu Lancar Single Jandanyer Yeah Yeah, Dedah Alter Ego Cat Farish
- oleh Mohd Indera
- 23 Sep 2025 1:31 pm

Penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik terkenal, Cat Farish, muncul dengan sisi berbeza apabila memperkenalkan alter ego baharunya, Si Penghulu, menerusi pelancaran single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah.
Menggabungkan rentak hip hop, afrobeat serta elemen budaya rakyat Perak, lagu berkenaan diterbit dan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd.
Menurut Cat Farish, projek ini bukan sekadar percubaan seni, sebaliknya platform untuk membawa identiti tempatan ke dalam genre moden.
“Jandanyer Yeah Yeah bukan sekadar hiburan. Lagu ini penghormatan buat semua wanita bergelar janda yang bangkit dengan penuh keyakinan selepas melalui perpisahan. Saya mahu mereka rasa dihargai dan dihormati, kerana status janda bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan baharu,” katanya.
Watak berkenaan mula tercetus ketika sesi kolaborasi bersama Malique menerusi lagu Ok, sebelum dikembangkan sebagai persona rasmi.
Isterinya, Shikin Maembong, turut menjadi inspirasi utama dalam menjayakan projek berkenaan.
“Syikin banyak beri sokongan moral. Dia minta saya jangan takut mencuba sesuatu yang berbeza. Dorongan itulah yang menjadi tenaga tambahan dalam penghasilan Jandanyer Yeah Yeah,” jelasnya lagi.
Tambah Cat Farish, walaupun rakaman lagu baru selesai, konsep dan idea karya tersebut telah digarap sejak lebih dua tahun lalu.
“Lagu dah lama siap dari segi muzik, tetapi lirik dan penyampaian mengambil masa untuk dimuktamadkan. Saya tidak mahu terburu-buru kerana mahu pastikan hasilnya benar-benar menepati visi yang diinginkan,” katanya.
Dengan kemunculan alter ego Si Penghulu dari Kampung Sri Kintadi, Cat Farish yakin dirinya membuka lembaran baharu dalam genre rakyat urban, sekali gus memperkaya landskap hip hop tempatan.
Single Jandanyer Yeah Yeah akan dilancarkan di semua platform digital dan saluran rasmi YouTube Luncai Emas.