Ikuti Kami:

Shutter 2025: Misteri dan Trauma Menghantui Setiap Foto

Shutter 2025: Misteri dan Trauma Menghantui Setiap Foto

Peminat genre seram kini disajikan dengan Shutter 2025, sebuah naskhah terbaharu yang diinspirasikan daripada filem seram Thailand, Shutter (2004).

Versi moden ini bukan sekadar mengimbau kembali kisah asal, tetapi hadir dengan pendekatan lebih segar dan selari dengan selera penonton masa kini yang mahukan penceritaan penuh emosi, gelap serta dekat dengan realiti digital hari ini.

Diarahkan oleh Herwin Novianto, Shutter 2025 mengekalkan teras utama kisah asal iaitu entiti roh yang muncul dalam foto.

Namun versi baharu ini diperkaya dengan elemen teknologi, konflik hubungan yang lebih kompleks serta misteri peribadi yang membelenggu watak utama.

Semua elemen ini digabungkan untuk mencipta ketegangan yang lebih mendalam sekali gus menghadirkan pengalaman seram yang baharu dan lebih dekat dengan dunia moden.

Filem ini dibintangi oleh nama-nama besar yang sinonim dengan genre seram, Vino G. Bastian yang memegang watak sebagai Darwin, seorang jurugambar yang hidupnya berubah selepas terlibat dalam satu kemalangan bersama kekasihnya Pia lakonan Anya Geraldine.

Insiden itu melibatkan seorang wanita misteri dan sejak detik tersebut, Darwin mula dihantui kelibat wanita sama yang muncul dalam setiap foto yang diambilnya.

Pia yang bimbang dengan keadaan Darwin mula menyiasat dan akhirnya menemui identiti wanita tersebut iaitu Lilies lakonan Niken Anjani, seorang mahasiswi yang pernah terkait dengan masa lalu Darwin. Namun semakin dalam penyiasatan dilakukan, semakin banyak rahsia gelap Darwin mula terdedah.

Keadaan menjadi lebih menakutkan apabila satu demi satu rakan lama Darwin mati dalam situasi mencurigakan. Pia akhirnya menyedari segala gangguan dan tragedi yang berlaku mungkin berpunca daripada dosa silam Darwin yang selama ini disembunyikannya.

Sebagai pengarah yang berpengalaman dalam genre ini, Herwin Novianto termasuk menerusi filem seram Kang Mak (2024) menggunakan kepakarannya untuk menghidupkan suasana ngeri Shutter 2025 dengan lebih realistik dan menyeksakan, menjadikan setiap babak penuh tekanan dan misteri.

Shutter 2025 diedarkan oleh GSC Movies dan bersedia menghantui pawagam seluruh negara bermula 20 November 2025.

Komen
Loading...