Ikuti Kami:

Shukri Yahaya Ungkap Sisi Gelap Manusia dalam “Balas Balik”

Shukri Yahaya Ungkap Sisi Gelap Manusia dalam “Balas Balik”

Filem terbaru Balas Balik membuktikan bahawa lakonan Shukri Yahaya semakin matang dan berani meneroka watak yang kompleks.

Dalam filem arahan Fedoz Kader ini, Shukri membawa watak Detektif Zul, seorang penyiasat yang bukan sahaja memburu kebenaran tetapi turut berhadapan dengan sisi gelap kemanusiaan yang penuh dendam dan trauma.

Filem ini mengangkat isu buli yang selama ini dianggap remeh oleh masyarakat, namun meninggalkan kesan jangka panjang kepada mangsa.

Melalui watak Zul, Shukri berjaya menampilkan bukan sekadar seorang detektif biasa, tetapi seorang lelaki yang bergelut dengan pelbagai emosi dan dilema moral ketika menyelesaikan kes kematian misteri seorang CEO.

Kisah ini bukan sahaja soal pembunuhan, tetapi juga rahsia dan dendam yang terpendam dalam jiwa manusia.

Shukri Yahaya, yang sebelum ini terkenal dengan watak-watak serius, menyifatkan peranan Detektif Zul sebagai antara karakter paling mencabar pernah dibawanya.

“Watak ini bermain dengan emosi dan tanggungjawab seorang penyiasat yang juga manusia biasa dengan empati dan tekanan sendiri,” katanya pada sidang media malam gala dan tayangan perdana di Dadi Cinema Pavilion minggu lalu.

Beliau perlu menggambarkan seseorang yang tidak hanya bergelut dengan fakta kes, tetapi juga konflik dalaman yang menguji prinsip dan empatinya.

Keupayaan Shukri membawa watak ini mendapat pujian ramai, sekali gus menambah keyakinan bahawa filem ini akan memberi impak mendalam kepada penonton.

Pengarah Fedoz Kader pula menjelaskan bahawa cabaran utama dalam filem ini adalah menyeimbangkan elemen penyiasatan jenayah dengan kedalaman emosi watak agar mesej sosial yang disampaikan sampai kepada penonton.

“Kita bukan hanya mahu penonton bertanya ‘siapa pembunuh’, tetapi mengapa sesuatu tindakan berlaku. Di situlah terletaknya kekuatan Balas Balik, ia mengajak penonton menyelami sisi gelap psikologi manusia,” katanya.

Penerbit Datin Sri Shaila V. menegaskan bahawa Balas Balik mahu membuka mata masyarakat tentang bahaya buli dan bagaimana trauma boleh menjadi racun yang membunuh nurani secara senyap.

“Setiap kali kita dengar berita buli, ia bukan sahaja menyedihkan, tetapi juga membimbangkan. Saya mahu filem ini menjadi cerminan bahawa mangsa buli mungkin menyimpan trauma selama-lamanya dan ia boleh menjadi racun yang mengubah masa depan mereka,” katanya.

Filem ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat lain seperti Tony Eusoff, Marisa Yasmin, Isyariana, Adam Lee, Zarul Husin, Meor Mohd dan Razman Mahyuddin yang masing-masing membawa warna tersendiri dalam memeriahkan jalan cerita yang penuh misteri dan emosi.

Malam gala turut dihiasi dengan persembahan lagu tema “Balas” nyanyian Hariz Fayahet yang berjaya menyuntik suasana dramatik selepas tayangan.

Balas Balik akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 29 Mei 2025 dan dijangka menjadi naskhah yang membuka dimensi baru dalam genre penyiasatan jenayah tempatan.

Komen
Loading...