Shukri Yahaya Kembali Dengan Watak Mover Jadi Tauke Kopi Dalam Drama Komedi Terbaharu “Bru”
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Pelakon popular Shukri Yahaya kembali menghiasi skrin dengan watak yang segar dan penuh cabaran dalam drama bersiri baharu bertajuk Bru, arahan pengarah tersohor Nik Amir Mustapha.
Drama komedi yang menyentuh isu perjuangan hidup, persahabatan dan dunia perniagaan jalanan ini bakal ditayangkan secara eksklusif di platform penstriman Tonton bermula 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis.
Diterbitkan oleh Lumatic Films, Bru mengangkat kisah Shah (lakonan Shukri Yahaya), seorang mover berjiwa besar yang nekad mahu mengubah nasib hidup dengan membuka perniagaan kopi sendiri – meskipun tanpa sebarang modal.
Yang tinggal hanyalah sebuah van lapuk milik arwah bapanya dan semangat yang tidak pernah padam. Bersama sahabat baiknya, Ajan (lakonan Amerul Affendi), dan seorang barista berbakat bernama Hani (lakonan Siti Hariesa) – yang juga anak kepada seorang Tan Sri – mereka mengubah van tersebut menjadi kafe bergerak dan memulakan perjalanan penuh cabaran dalam dunia kopi jalanan.
Konflik semakin mencabar apabila Shah terpaksa berdepan dengan pesaing perniagaan, pelanggan cerewet, peralatan usang, dan cabaran terbesar – dirinya sendiri.
Sifat panas baran Shah sering menimbulkan ketegangan, menguji kesetiaan sahabat dan kepercayaan orang sekelilingnya. Di sebalik keazaman mengejar cita-cita, Bru menampilkan dilema sebenar antara mengejar impian atau menghargai hubungan yang sudah sedia ada.
Menurut Shukri Yahaya, watak Shah begitu dekat dengan realiti masyarakat hari ini.
“Shah bukan sekadar peniaga kopi, dia lambang mereka yang berani mengejar impian walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan kegagalan. Saya yakin ramai akan dapat rasa perjuangan Shah sebagai sesuatu yang relatable,” ujar Shukri yang turut menyatakan bahawa Bru merupakan kemunculan semula beliau selepas berehat seketika dari dunia drama.
Dengan elemen humor, drama dan inspirasi, Bru dijangka menjadi antara karya tempatan yang mencuri perhatian tahun ini.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah inspirasi penuh warna-warni ini bermula 1 Mei 2025 hanya di Tonton! Strim episod baharu di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.