Ikuti Kami:

Showcase Teleportasi: Mafidz, Pusakata Pukau Ribuan Peminat

Showcase Teleportasi: Mafidz, Pusakata Pukau Ribuan Peminat

Magis dan air mata mengiringi konsert Showcase Teleportasi apabila gandingan dua nama besar dunia muzik indie serantau, Mafidz dan Pusakata, berjaya memukau ribuan peminat yang membanjiri ruang Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lepas.

Konsert yang amat dinanti-nantikan itu bukan sekadar satu persembahan pentas biasa, sebaliknya bertukar menjadi sebuah pelayaran emosi dan ‘perjalanan rasa’ yang merentasi sempadan geografi antara Malaysia dan Indonesia.

Membuka tirai persembahan, Pusakata atau nama sebenarnya Mohammad Istiqamah Jamad, yang juga bekas vokalis kumpulan Payung Teduh, memulakan set dengan penuh intim dengan lagu Namamu Kueja Pelan-Pelan.

Penyanyi yang terkenal dengan bait-bait lirik puitis itu terus mengasyikkan malam penonton menerusi seleksi lagu popularnya termasuk Pejamkan Matamu, Di Atas Meja, dan Ruang Tunggu.

Kemuncak set Pusakata pastinya apabila lagu berhantu, Akad dan Untuk Perempuan Dalam Pelukan bergema, menyaksikan seluruh ruang Zepp Kuala Lumpur ‘teleport’ ke dalam dimensi nostalgia yang cukup mengesankan.

Pihak penganjur dalam kenyataan media menzahirkan rasa syukur dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penonton, rakan media, penaja, serta krew produksi yang bertungkus-lumus merealisasikan konsert ini.

“Melihat ribuan manusia menyanyi bersama dalam satu emosi yang sama adalah sesuatu yang sangat istimewa buat kami. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” kata wakil penganjur dalam satu kenyataan.

Meneruskan momentum malam yang serba indah, kumpulan trio adik-beradik, Mafidz mengambil alih pentas dengan mempertaruhkan 20 buah lagu secara keseluruhan sekaligus membuktikan kematangan mereka dalam mengemudi emosi peminat.

Membuka set pertama dengan lagu Kayuh!, Lemas, Terus Cuba, Kala Malam dan Di Manakah Cinta, Mafidz yang dianggotai oleh Megat Fazly, Megat Aizzat, dan Megat Hadzreen tampil bertenaga sebelum mempersembahkan lagu Matamu yang turut menampilkan artis jemputan, Hanis Azman.

Suasana Zepp KL kembali hangat pada set kedua apabila Pusakata dan Mafidz berkongsi pentas menyampaikan dua buah lagu kejutan.

Gandingan mantap menerusi lagu Bulan Di Pagar Bintang (P. Ramlee) dan lagu hit Payung Teduh, Resah, nyata memukau penonton, sekali gus memperlihatkan bagaimana muzik mampu menjadi ejen penyatuan yang sangat jujur.

Tidak membiarkan peminat pulang dengan hambar, set ketiga Mafidz terus membakar semangat penonton menerusi lagu Nista, Liar, dan penampilan istimewa Otam menerusi lagu Senandung.

Konsert kemudiannya diakhiri dengan cukup puitis menerusi lagu Teleportasi dan Bila Kau Dengar.