
Penyanyi bersuara emas, Nadeera Zaini mencipta detik bersejarah dalam perjalanan seninya apabila berjaya menganjurkan showcase sulung bertajuk An Evening With Nadeera yang berlangsung penuh gemilang malam tadi di Nero Event Space, PJPAC, 1Utama.
Showcase eksklusif pada 30 Mei itu menyaksikan hanya 300 penonton bertuah hadir menyaksikan persembahan secara langsung. Tiket terjual habis dalam masa tiga minit selepas dibuka secara dalam talian pada 1 Mei lalu, membuktikan sokongan luar biasa terhadap penyanyi berbakat besar ini.
Dengan iringan muzik daripada pengarah muzik berpengalaman Sze Wan, Nadeera mempersembahkan 10 buah lagu, dimulakan dengan Emas sebagai pembuka tirai.
Persembahan diteruskan dengan Tanpa Dendam Di Hati, Fatwa Pujangga, Illusion, Boneka Tanpa Hati, Try, Kau Dihatiku, dan akhirnya menutup malam gemilang itu dengan lagu hit beliau, Bukan Lagi Kita.
Antara persembahan yang mencuri perhatian ialah lagu Jampi nyanyian asal Hael Husaini yang dibawakan secara solo oleh Nadeera. Persembahan itu memberi nafas baharu dan memukau penonton dengan penghayatan yang mendalam.
Satu lagi momen istimewa ialah ketika Nadeera menyampaikan lagu Kau Dihatiku yang dipopularkan oleh Zainal Abidin, mentor yang pernah membimbingnya dalam program Mentor Legend.
Lagu ini menjadi penghargaan istimewa kepada Zainal yang telah banyak membantu membina keyakinan dan identiti seninya sejak awal kemunculan.
Showcase turut menampilkan duet istimewa Hakikat Cinta bersama penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah yang mendapat sorakan gemuruh penonton.
Dalam sidang media selepas persembahan, Nadeera, atau nama penuhnya Farah Nadeera Zain, 31, tidak menyembunyikan rasa syukur dan terharu terhadap kejayaan acara sulung itu.
“Saya tak pernah buat showcase, sebelum ini saya nyanyi di lounge hotel saja, jadi lebih santai. Tapi kali ini saya perlu sediakan 10 lagu dengan lagu-lagu mencabar dan tinggi, ” katanya.
Tambahnya, persiapan hampir sebulan untuk acara ini agak mencabar dari segi masa dan komitmen, namun segalanya berbaloi dengan sambutan dan hasil yang diperoleh.
“Kekuatan saya datang daripada peminat, keluarga ibu dan ayah saya yang datang dari Mersing Johor serta pasukan saya yang sentiasa menyokong,”
“Saya sangat bersyukur diberi peluang oleh MASK Team dan Usanita untuk menganjurkan showcase ini. Kalau tanpa mereka, ini hanya tinggal impian,” katanya.
Acara ini dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan MASK Team dengan kerjasama Virus Ungu, Rocketfuel, M World Hotel sebagai hotel rasmi serta Astro Gempak selaku media digital rasmi.
An Evening With Nadeera bukan sekadar persembahan pentas tetapi simbol dedikasi, ketekunan dan kasih seorang penyanyi kepada seni dan peminatnya.
Lagu Bukan Lagi Kita juga melonjakkan namanya apabila dinobatkan tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-39.
Nadeera yang mula dikenali menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupa (2012) dan Mentor Legend (2014) semakin mengukuhkan nama selepas muncul juara Lagu Cinta Kita musim kedua (2020) dan Big Stage musim kelima (2023).
Showcase ini menjadi bukti bahawa Nadeera kini berada di fasa kemuncak kariernya dan terus relevan dalam landskap muzik semasa.