Kerinduan peminat terhadap vokal unik penyanyi tersohor, Mamat, terubat apabila beliau kembali memukau pentas menerusi showcase solo istimewa yang berlangsung di IDEAS Hotel, di sini semalam.
Showcase yang dianjurkan oleh Mekar Management itu dihadiri kira-kira 250 penonton yang rata-ratanya merupakan peminat setia yang mengikuti perkembangan kerjaya seni penyanyi itu sejak era awal kemunculannya.
Bermula tepat jam 9.00 malam, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 48, mempersembahkan 10 buah lagu hit termasuk Dewi Sukma, Janji Padaku, Mama Aku Ingin Pulang, Jalan Seiringan, Rahsia Pohon Cemara, dan lagu malar segar, Untukmu Ibu.
Pengurusnya, Azlina Abdul Aziz berkata, penganjuran showcase tersebut merupakan langkah awal atau ‘pemangkin’ untuk membuktikan bahawa Mamat kini sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali menyinari industri muzik tanah air secara solo.
“Sebenarnya showcase ini dirancang secara ‘bidang terjun’ dengan sokongan peminat tegar di media sosial. Kami mahu tunjukkan yang Mamat sudah kembali dan bersedia untuk bekerja semula,” katanya pada Showcase Mekar Mamat, di sini, semalam.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Azlina menjelaskan pihaknya sedang dalam proses untuk merakamkan semula beberapa lagu lama Mamat dan kumpulan Exists dengan susunan muzik serta nafas baharu.
“Kita ada rancangan untuk rakam semula lagu-lagu popular beliau, namun kita perlu teliti aspek hak cipta terlebih dahulu sebelum proses rakaman dimulakan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Azlina turut mengesahkan bahawa Mamat kini berada dalam keadaan sihat dan di bawah jagaan rapi pengurusan selepas melalui fasa pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) susulan isu peribadi sebelum ini.
Walaupun fokus kepada kerjaya solo dan mahu dikenali sebagai ‘Mamat Hakal’, beliau tetap akan memenuhi komitmen bersama kumpulan asalnya menerusi konsert reunion yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada Jun depan dan di Pulau Pinang pada Oktober akan datang.
Showcase malam tadi diakhiri dengan sesi ramah mesra (meet and greet) yang memperlihatkan keakraban peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral kepada penyanyi itu.
Foto Oleh: Papadin.




