Ikuti Kami:

Shiqin Idam Watak Lasak, Era Watak ‘Penyondol’ Sudah Berakhir

Shiqin Idam Watak Lasak, Era Watak ‘Penyondol’ Sudah Berakhir

Mengimpikan watak lasak seperti Angelina Jolie, Shiqin Kamal, 32, mengakui era watak ‘penyondol’ yang sering diberikan kepadanya sudah berakhir.

Menurutnya, sudah tiba masa untuk pelakon diberi peluang mencabar diri dengan watak lebih segar dan berkualiti.

“Sebenarnya, ramai pelakon berbakat yang mampu membawa watak berbeza. Namun, disebabkan label yang diberikan, mereka terus terperangkap dengan karakter yang sama.

“Kalau diberi peluang, saya ingin menjadi seperti Angelina Jolie. Saya tidak kisah menjalani latihan fizikal atau diet ketat demi merealisasikan watak sebegitu,” tambahnya lagi.

Ditemui dalam majlis tayangan perdana filem Reversi, Shiqin meluahkan hasrat untuk melakonkan watak aksi dan berbeza dengan yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Jangan skeptikal dengan rupa fizikal atau imej seseorang pelakon. Contohnya, wajah saya sering dianggap garang, maka saya selalu diberikan watak jahat.

“Beri ruang kepada pelakon mencuba pelbagai karakter. Jika mereka boleh menangis dalam satu watak, kenapa tidak mencabar mereka dengan karakter lain pula?” katanya.

Menurut Shiqin atau nama penuhnya Nur Ashiqin Mohd Kamal, penerbit dan pengarah juga perlu lebih terbuka untuk memberi peluang kepada pelakon mencuba watak-watak yang berlainan.

“Kita terlalu banyak dihidangkan dengan jalan cerita yang sama, seperti ‘template’.

“Asyik ada babak menggoda untuk dapatkan harta juta-juta. Bukan saya tidak berminat bawa watak antagonis, tetapi saya rasa sudah tiba masanya mencuba karakter yang lebih segar dan mencabar,” jelasnya.

Shiqin, yang bakal tampil dalam filem Reversi pada 19 Disember ini, mengakui suka dengan konsep filem tersebut yang berat dan berunsur rentas masa.

Selain Shiqin, Reversi turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairi, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani, dan Zahiril Adzim. Filem ini dijangka membawa nafas baharu ke pawagam dengan naskhah yang lebih bijak dan berbeza.

Komen
Loading...