
Selepas menjuarai program realiti Famili Duo 4 baru-baru ini, pasangan adik-beradik Shiha dan Ieda Zikir kembali menceriakan peminat dengan lagu raya terbaharu berjudul Tum Tum Raya.
Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa mesej kegembiraan dan kemeriahan Aidilfitri dengan elemen muzik yang segar dan unik.
Lagu Tum Tum Raya merupakan hasil ciptaan Ajay Amai, Napie Hassan, serta Shiha sendiri, manakala liriknya ditulis oleh Ajay dan Napie. Menggabungkan unsur ceria dan komedi, lagu serta video muziknya telah dilancarkan secara rasmi pada 5 Mac lalu.
Menurut Shiha, 38, lagu ini melalui beberapa perubahan sebelum mencapai versi akhir yang penuh semangat.
“Pada mulanya, tajuk asal lagu ini adalah Dendang Raya, kemudian ditukar kepada Terpaling Raya. Namun, ketika berada di studio, saya merasakan bahagian ‘tum tum’ dalam lagu ini sangat menarik untuk dijadikan tajuk utama, lalu terciptalah Tum Tum Raya,” jelas Shiha.
Beliau turut menyatakan bahawa lagu ini mengandungi unsur komedi yang menyeronokkan, termasuk bahagian rap dan elemen nyanyian klasik ala Puan Sri Saloma.
Shiha dan Ieda merakamkan lagu ini bersama sebagai tanda penghargaan dan ikatan erat mereka sebagai adik-beradik.
“Ini adalah waktu yang sesuai untuk kami merakamkan lagu duet, apatah lagi selepas kemenangan Famili Duo 4. Saya mahu berkongsi momen istimewa ini dengan kakak saya yang banyak mengajar saya menyanyi sejak kecil,” kata Shiha.
Bagi Ieda, pengalaman merakamkan lagu dan video muzik ini sangat menyeronokkan serta mencabar, tetapi memberikan kepuasan yang luar biasa.
“Shiha banyak membawa idea luar biasa, termasuk unsur jenaka, gerakan perlahan, dan pelbagai konsep kreatif. Saya hanya layankan sahaja, dan hasilnya memang luar biasa,” kata Ieda.
Video muzik Tum Tum Raya menampilkan personaliti berbeza antara Shiha dan Ieda – Shiha dengan gaya ceria dan happy-go-lucky, manakala Ieda lebih lemah lembut dan sopan.
Proses pembikinan video muzik ini menelan kos yang agak tinggi dan memerlukan tenaga kerja yang ramai. Shiha mendedahkan bahawa mereka menyewa studio selama tiga hari untuk menghasilkan video muzik yang penuh warna-warni ini.
“Walaupun penat, semua yang terlibat tetap bersemangat dari jam 8 pagi hingga 6 pagi keesokan harinya. Saya sangat menghargai kerja keras mereka,” katanya lagi.
Sebagai penaja utama, Giant Malaysia menyokong penuh lagu ini kerana ia mencerminkan semangat kemeriahan dan kebersamaan Aidilfitri.
“Kami memilih untuk menaja lagu ini kerana ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membawa mesej tentang kegembiraan dan kebersamaan, selari dengan nilai-nilai Giant Malaysia,” kata Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Encik Andre Lim.
Bersempena dengan pelancaran lagu ini, Giant Malaysia turut melancarkan dua kempen khas:
– Kempen Pemberian Motosikal Percuma – Setiap perbelanjaan RM100 di cawangan Giant melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah untuk memenangi motosikal.
– Kempen Jom Sedekah – Pelanggan boleh menyumbangkan barangan keperluan asas atau dana kepada golongan yang memerlukan.
Shiha dan Ieda berharap lagu ini mendapat sambutan yang baik dan menjadi salah satu lagu raya kegemaran rakyat Malaysia.
“Saya harap orang ramai suka dan boleh dengar lagu ini berulang kali. Apabila menonton video muziknya, mereka akan melihat hasil kerja keras ramai pihak,” kata Shiha.
Ieda berharap lagu mereka membawa semangat positif dan menjadikan Aidilfitri lebih ceria serta diberkati.
“Kami telah melakukan yang terbaik dan berharap lagu ini dapat menyuntik semangat positif kepada pendengar. Semoga Aidilfitri kali ini lebih ceria dan diberkati.” ujarnya.
Lagu Tum Tum Raya kini boleh didengari di platform digital, manakala video muziknya boleh ditonton di YouTube.