Ikuti Kami:

Sheila On 7 Kembali, 25,000 Serbu Latihan Pestapora Malaysia

Sheila On 7 Kembali, 25,000 Serbu Latihan Pestapora Malaysia

Gegak-gempita laungan lebih 25,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam mengiringi kemunculan semula kumpulan legenda Indonesia, Sheila On 7, dalam persembahan eksklusif mereka di Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang mencipta momen bersejarah buat dunia muzik Nusantara.

Kumpulan yang berasal dari Yogyakarta itu kembali menghiasi pentas Malaysia selepas lebih sedekad. Kemunculan mereka menjadi nadi utama festival muzik mega anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator.

Saat intro lagu Dan berkumandang, seluruh stadium bersatu dalam nostalgia, menyanyikan bait-bait lirik bersama penuh emosi dan kenangan.

Sheila On 7 mempamerkan pesona dan karisma yang masih utuh dengan membawakan deretan lagu ikonik seperti Melompat Lebih Tinggi, Sephia, Sahabat Sejati, Kita dan Itu Aku.

Peminat dari pelbagai lapisan umur termasuk generasi yang membesar bersama lagu mereka serta peminat baharu turut hadir, menjadikan persembahan ini sebagai pertemuan semula yang penuh makna.

Menurut En. Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, keputusan membawa Sheila On 7 ke Malaysia adalah sebagai penghargaan kepada peminat setia yang saban tahun ke Jakarta menyertai edisi utama Pestapora.

“Kami tahu ramai dari Malaysia sanggup terbang ke Jakarta demi Pestapora dan Sheila On 7. Jadi edisi latihan ini bukan hanya pemanas enjin. Ia adalah tanda penghormatan buat peminat Malaysia,” jelas beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, En. Rohit Rampal, turut menyatakan bahawa sambutan luar biasa ini memberi semangat untuk menjadikan Latihan Pestapora Malaysia sebagai acara tahunan.

“Sheila On 7 buktikan kuasa nostalgia itu kuat dan hidup. Ini bukan sekadar konsert. Ini adalah penyatuan generasi. Kami harap dapat teruskan gerakan ini setiap tahun.” katanya.

Menampilkan lebih 25 artis dari Malaysia dan Indonesia, festival ini mengangkat pelbagai genre daripada pop, rock, hip-hop, hingga dangdut dan indie.

Antara yang turut memeriahkan dua pentas utama, Main Stage dan Hingar Bingar, ialah .Feast, Hindia, Pamungkas, Nadin Amizah, Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Kunto Aji, Salammusik, Yonnyboii, Ismail Izzani, SonaOne, Alvn, Aziz Harun, DJ CZA, Dukes, Elva Suyan, Fahimi, Empty Page, Gaston Pong, Julia Duclos, Killa Driz, Lil J dan Naki.

Walaupun mengekalkan semangat asal Pestapora Jakarta, edisi Malaysia membawa sentuhan lokal dengan penglibatan vendor makanan tempatan, aktiviti interaktif dan ruang pengalaman mesra keluarga.

Ia bukan sahaja mencipta festival berjiwa besar tetapi juga meraikan budaya Malaysia dalam suasana serantau.

Acara ini turut mendapat sokongan hebat daripada rakan media dan strategik seperti Era, Hitz, Mix, THR Gegar, Syok, Lobak Merah, World of Buzz, Tapau, Batik Air, Book Cabin, Sunway Putra Hotel, D’Mart Travel Tour, Universal Music Malaysia dan Tourism Malaysia.

Komen
Loading...