Sheila On 7 Gegarkan Latihan Pestapora 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Kumpulan rock legenda dari Indonesia, Sheila On 7, bakal membuat kemunculan semula yang dinanti-nantikan di Malaysia sempena festival muzik dwinegara, Latihan Pestapora 2025, yang kini dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Julai ini.
Perpindahan lokasi ke stadium terbesar negara itu diumumkan berikutan sambutan luar biasa terhadap senarai artis Fasa 1 yang dilancarkan pada Mei lalu.
Edisi Fasa 2 kini memperkenalkan nama-nama besar seperti Sheila On 7, Nadin Amizah, dan ALVN, yang dijangka menarik lebih ramai peminat muzik dari kedua-dua negara.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata kehadiran semula Sheila On 7 ke Malaysia bukan sekadar persembahan, tetapi satu detik bersejarah buat peminat muzik serantau.
“Sheila On 7 bukan sekadar kumpulan muzik – mereka adalah sebahagian daripada kenangan, dengan lagu-lagu yang menjadi anthem satu generasi. Dengan Stadium Nasional sebagai lokasi baharu, kami bersedia mencipta sejarah dalam dunia festival muzik Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, menyifatkan edisi Malaysia sebagai kesinambungan semangat muzik dan komuniti yang dibawa dari Jakarta.
“Dengan kehadiran Sheila On 7, Nadin Amizah dan ALVN, kami berharap dapat memperkukuh hubungan budaya dan muzik antara Indonesia dan Malaysia dalam satu malam yang penuh emosi dan kenangan,” katanya.
Festival ini dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, pasukan yang sama di sebalik kejayaan Pestapora di Jakarta. Ia bakal menyajikan pengalaman muzik Nusantara yang belum pernah disaksikan di Malaysia.
Jualan tiket Fasa 2 akan bermula 9 Jun 2025, jam 12 tengah hari (GMT+8) menerusi laman rasmi www.latihanpestaporamalaysia.com, susulan kejayaan jualan Fasa 1 yang mencatat ribuan pembelian walaupun senarai penuh artis belum diumumkan ketika itu.
Antara barisan artis Fasa 1 yang turut memeriahkan festival ini termasuk .Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi, menjadikannya festival silang budaya terbesar tahun ini.
Latihan Pestapora Malaysia 2025 turut disokong oleh rakan strategik seperti ERA FM, HITZ FM, SINAR FM, MIX, THR GEGAR, SYOK, World of Buzz, Lobak Merah, Batik Air, BookCabin, Sunway Putra Hotel, serta disokong oleh Universal Music Malaysia dan Tapao Fest.
Untuk maklumat lanjut, layari: www.latihanpestaporamalaysia.com