Sheila Majid Rai 40 Tahun Perjalanan Seni Dengan Vinyl Eksklusif RM1,599
- oleh Mohd Indera
- 23 Sep 2025 1:40 pm

Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid, meraikan ulang tahun ke-40 perjalanan seninya dengan pelancaran koleksi eksklusif lapan album penuh dalam format vinyl, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam industri muzik tempatan.
Dilancarkan oleh Universal Music Malaysia bersama PMP Entertainment, edisi terhad ini menawarkan hanya 300 set, menjadikannya koleksi premium yang amat dinantikan peminat.
Vinyl ini ditawarkan pada harga pra-tempahan RM1,499.00 bermula 23 September 2025, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599.00.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, berkata pelancaran ini bukan sahaja bersempena Konsert Sheila Majid 40 Years in Music pada 8 November depan, tetapi juga sebagai penghormatan terhadap sumbangan Sheila dalam arena seni suara.
“Ini kali pertama seorang artis Malaysia memiliki kesemua album dalam format vinyl. Ramai peminat menantikan detik ini, dan kami percaya ia akan mengimbau nostalgia perjalanan seni beliau sepanjang empat dekad,” katanya.
Lapan album yang dimuatkan dalam koleksi ini ialah Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka. Vinyl bersejarah ini turut terhasil daripada kerjasama Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Pelancaran rasmi dijadualkan pada 5 Oktober 2025. Koleksi ini bukan sahaja menjadi tanda penghargaan kepada peminat setia, malah diyakini bakal menjadi buruan pengumpul vinyl dan pencinta muzik tanah air.
Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan dan butiran lanjut pelancaran, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi Universal Music Malaysia di platform media sosial.