Sheila Majid Kembali Dengan Single Moving On, Tawan Hati Generasi Baharu
- oleh Mohd Indera
- 31 Jul 2025 3:36 pm

Foto oleh: Papadin.
Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Sheila Majid, membuktikan bahawa legasi seni yang dibinanya selama empat dekad bukan hanya kekal relevan, malah terus menambat hati generasi baharu menerusi single terbaharu berjudul Moving On.
Lagu yang dilancarkan secara rasmi dalam sebuah acara eksklusif di Pavilion Damansara Heights semalam itu hadir dengan cita rasa muzik segar berteraskan nu-disco moden yang diinspirasikan daripada era keemasan 1980-an, namun disesuaikan dengan selera pendengar masa kini.
“Saya tidak kejar trend, saya mengejar rasa dan jiwa, Dunia sudah berubah. Begitu juga saya. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya.” kata Sheila.
Gabungan suara ikonik Sheila bersama susunan muzik moden yang dihasilkan oleh penerbit antarabangsa dari Korea Selatan, Hyuk Shin, menjadikan Moving On bukan sekadar lagu baharu tetapi jambatan yang menyatukan dua generasi pendengar.
Selepas pandemik, lagu klasik beliau seperti Sinaran kembali mendapat perhatian, terutamanya di platform media sosial dan video pendek.
Fenomena itu membuka mata Sheila terhadap potensi untuk terus berkarya dan berkongsi suara dengan kelompok muda yang mula mengenali muziknya.
Dengan mesej penyembuhan, kekuatan dan kebebasan diri, Moving On mengangkat tema yang dekat dengan jiwa generasi muda hari ini yang bergelut mencari identiti dalam dunia digital yang serba pantas.
“Moving On mengisahkan tentang jiwa, terutamanya buat generasi muda. Ia menyeru kepada semangat percaya diri dan kebebasan emosi dalam dunia yang penuh tekanan hari ini,” jelas Sheila.
Menurut Kim Lim dari Universal Music Malaysia, lagu ini membuktikan bahawa seni sejati tetap mendapat tempat walaupun selera muzik berubah mengikut zaman.
“Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah. Moving On membuktikan kekuatan itu.” katanya.
Majlis pelancaran turut menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan era retro yang menarik minat generasi muda.
Pengunjung bergambar dengan latar vintaj sambil menerima cetakan eksklusif dan akses kandungan digital lagu. Artis muda seperti Tabby, NAKI dan Gaston Pong turut memeriahkan acara dengan persembahan bertenaga.
Sebagai kesinambungan sambutan ulang tahun ke-40 dalam industri, Sheila turut akan terlibat dalam pameran memorabilia khas di Pavilion Damansara Heights bermula awal September ini.
Pameran itu bakal memaparkan pelbagai kenangan seni beliau sejak 1985.
Bagi Sheila Majid, Moving On bukan penutup, tetapi permulaan baharu dalam fasa karier yang lebih matang, reflektif dan jujur.
Melalui sentuhan muzik kontemporari yang tidak melupakan akar jazzy dan pop, beliau kini kembali dengan nada segar dan bersedia menawan hati peminat lama dan baharu.