Ikuti Kami:

Shah Rukh Khan Meriahkan Pelancaran Bin Zayed International di Malaysia

Shah Rukh Khan Meriahkan Pelancaran Bin Zayed International di Malaysia

Kehadiran ikon Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan, di majlis pembukaan Bin Zayed International (M) Bhd di ibu negara pada Jumaat mencuri perhatian para tetamu.

Acara yang berlangsung di The Exchange 106, Kuala Lumpur, ini menjadi medan pertemuan bagi tokoh terkenal dari dua negara iaitu Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Shah Rukh Khan, sebagai tetamu istimewa, meluahkan rasa teruja dapat kembali ke Malaysia selepas sekian lama.

“Saya pernah ke sini beberapa tahun lalu, dan kini kembali lagi untuk menyaksikan dua negara yang saya anggap sebagai rakan iaitu UAE dan Malaysia menjalinkan kerjasama.

“Saya bukanlah orang yang penting untuk dianggap sebagai rakan, tetapi saya adalah rakan bagi Malaysia dan UAE. Terima kasih kerana hadir bersama. Saya amat gembira dan terharu dapat bertemu anda semua di sini,” katanya dalam ucapannya.

Pelakon ternama itu turut memuji usaha global antara UAE dan Malaysia melalui pelaburan strategik oleh Bin Zayed International Group Of Companies (BZI). Beliau menyifatkan usaha ini sebagai langkah penting untuk memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Menurut Shah Rukh Khan, kemajuan ekonomi akan menjadi lebih kukuh apabila manfaatnya dikongsi bersama. BZI, konglomerat berpusat di Dubai, dimiliki oleh ahli perniagaan terkemuka dan kerabat diraja UAE, Sheikh Khaled Zayed Saquer Al Nahyan.

Syarikat ini terlibat dalam pelbagai sektor, termasuk pembinaan, tenaga, perdagangan, hartanah, teknologi, dan perkhidmatan kewangan.

Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada hubungan erat UAE-Malaysia, yang membuka peluang lebih luas kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

Komen
Loading...