Ikuti Kami:

‘Sewaktu Bahagia’ Tanda Kebangkitan Semula Iskandar Zulkarnain

‘Sewaktu Bahagia’ Tanda Kebangkitan Semula Iskandar Zulkarnain

Nama Iskandar Zulkarnain mungkin agak lama tidak kedengaran di persada muzik tanah air, namun bekas vokalis Projektor Band itu kini kembali dengan semangat baharu menerusi single solo terbarunya berjudul Sewaktu Bahagia.

Lagu balada penuh emosi ini bukan sekadar karya biasa, sebaliknya simbol kepada kebangkitan semula Iskandar dalam industri muzik selepas sekian lama menyepi.

Diterbitkan di bawah label Luncai Emas, Sewaktu Bahagia menampilkan kekuatan vokal Iskandar yang sinonim dengan lagu-lagu beremosi.

Menurut Iskandar, peluang kedua ini hadir tepat pada masanya bagi membuktikan dirinya masih relevan dan mempunyai tempat di hati peminat muzik tempatan.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh pihak Luncai Emas untuk kembali dengan karya baharu. Lagu ini benar-benar mencerminkan perjalanan hidup saya yang penuh naik turun. Sewaktu Bahagia bukan sekadar lagu, tetapi simbol kebangkitan semula saya,” ujar Iskandar.

Lagu ciptaan Aidil AF dan Jeremy Erskine ini lahir daripada pengalaman peribadi mereka yang pernah berdepan kekecewaan dalam percintaan.

Baris lirik seperti “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia” jelas menggambarkan rasa pilu yang menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Pertemuan antara Iskandar dan Aidil berlaku secara kebetulan apabila Aidil diperkenalkan oleh sepupu Iskandar, Nabil. Dari pertemuan santai itu, Aidil memperkenalkan Iskandar kepada pihak Luncai Emas yang membuka ruang untuk kolaborasi ini.

Menurut Keon Omar, Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, penerbit muda Hidayat Nasir dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan lagu ini.

Hidayat, yang juga pemain gitar kumpulan Pitahati, mengakui cabaran utama adalah memastikan lagu ini sesuai dengan kekuatan vokal dan karakter maskulin Iskandar.

“Ini satu peluang besar buat saya sebagai penerbit baharu. Saya juga bersyukur kerana mendapat sokongan daripada pasukan produksi yang hebat, termasuk Zahar dari Pitahati sebagai pemain gitar, Faliq Mohd sebagai jurutera bunyi dan Ujang dari Exist selaku pemain drum,” ujar Hidayat.

Lebih istimewa, proses pembikinan lagu ini turut mendapat sentuhan dan bimbingan daripada Dato’ M. Nasir yang memberi panduan kepada Iskandar untuk menyampaikan lagu ini dengan lebih jujur dan berkesan.

“Harapan saya agar Sewaktu Bahagia bukan sahaja diterima baik, malah mampu menjadi lagu yang kekal relevan merentasi generasi,” kata Iskandar.

Video lirik rasmi Sewaktu Bahagia akan dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas pada 25 Julai 2025, berserta audio rasmi yang boleh dinikmati di semua platform digital.

Komen
Loading...