Ikuti Kami:

Seven Mega Growth Strategies 2026: Platform Rapat Jurang Usahawan Tempatan Dan Global

Seven Mega Growth Strategies 2026: Platform Rapat Jurang Usahawan Tempatan Dan Global

Program Seven Mega Growth Strategies 2026 yang berlangsung hari ini menjadi wadah strategik dalam merapatkan jurang antara usahawan tempatan dengan pemain industri serta pelabur global di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia.

Program yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta termasuk tokoh korporat, wakil diplomatik, dan komuniti perniagaan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa dalam landskap perniagaan yang semakin kompetitif, ‘visibiliti’ bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya satu keperluan untuk kelangsungan atau survival sesebuah jenama.

“Jenama yang terus dilihat akan terus dipercayai. Usahawan perlu memahami kepentingan pemasaran strategik, jaringan kolaborasi, dan perlindungan perniagaan bagi memastikan mereka kekal relevan.

“Dalam ekonomi yang mencabar, ada syarikat mula memotong bajet pemasaran, sedangkan hakikatnya perniagaan merosot kerana mereka tidak lagi ‘kelihatan’ di pasaran,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa, Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman serta rakan strategik daripada Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr. Zurainah berkata, usahawan tempatan kini ‘wajib’ mengamalkan budaya kolaborasi dan membina rangkaian (networking) yang luas bagi menarik minat pelabur besar serta konglomerat.

“Kita perlu mempunyai niche atau keunikan tersendiri. Apabila kita dikenali dan mempunyai rangkaian yang kuat, barulah kita akan dicari oleh pelabur besar,” jelasnya.

Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman pula menambah, usahawan peringkat pertengahan perlu fokus kepada jualan dan keuntungan daripada hanya bergantung kepada pinjaman bank.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun AI semakin berkembang, sentuhan kreatif dan emosi manusia tetap diperlukan dalam pemasaran untuk membina kepercayaan pengguna.

“Kita mahu usahawan peringkat pertengahan ini fokus kepada jualan dan keuntungan, bukannya hanya berfikir untuk membuat pinjaman bank semata-mata untuk bertahan. Kualiti ketahanan usahawan itu yang akan menentukan kedudukan jenama mereka di pasaran,” katanya.

Sementara itu, menyentuh aspek kesiapsiagaan perundangan, Datuk Wan Azmir mengingatkan usahawan mengenai risiko ‘kebocoran keuntungan secara senyap’ (silent profit leakage) yang sering berlaku akibat kelemahan struktur perniagaan.

Beliau menjelaskan bahawa banyak syarikat kehilangan keuntungan bukan kerana ketiadaan pelanggan, tetapi akibat kontrak yang lemah, dokumentasi tidak lengkap, serta kegagalan mengurus risiko perundangan sejak awal.

“Cabaran perundangan sekarang semakin kompleks kerana kita berada dalam fasa transisi di mana banyak maklumat atau dokumen dalam pasaran dan media sosial mungkin tidak benar. Usahawan perlu kembali memperkukuh dokumentasi fizikal dan asas undang-undang yang teguh.

“Asas perundangan dalam perniagaan bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan kritikal untuk survival syarikat agar hak mereka sentiasa dilindungi,” tegasnya.

Penganjuran Seven Mega Growth Strategies 2026 ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam melahirkan lebih ramai usahawan Malaysia yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa melalui perkongsian ilmu serta kerjasama strategik rentas sempadan.