Setlary Raih Pelaburan RM100 Juta, Fokus Utama Membantu Pekerja B40
- oleh MDaily Editor
- 2 Dec 2025 4:43 pm
Setlary, platform Akses Gaji Terperoleh (EWA) terkemuka di Malaysia, hari ini mengumumkan kejayaan mendapatkan suntikan pelaburan strategik bernilai RM100 juta.
Pembiayaan yang signifikan ini diketuai oleh firma pelaburan antarabangsa terkemuka, Lion X dan Holborn Capital Partners, dengan sokongan pembiayaan tambahan daripada rakan kongsi kewangan tempatan, CapBay.
Dana ini bukan sahaja akan mempercepatkan pengembangan serantau Setlary ke pasaran baharu di Asia, malah yang lebih utama, ia akan digunakan untuk mempertingkatkan platform kesejahteraan kewangan komprehensif yang ditawarkan kepada pekerja.
Mandat Sosial (S) dalam ESG Jadi Teras
Pelaburan strategik ini secara langsung menangani permintaan mendesak daripada syarikat korporat untuk memenuhi mandat ‘S’ (Sosial) dalam rangka kerja Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) mereka.
Setlary menawarkan penyelesaian tanpa kos kepada majikan untuk meningkatkan daya tahan kewangan pekerja—faktor yang terbukti meningkatkan kadar pengekalan dan pengambilan pekerja.
Secara kolektif, kumpulan pelabur ini menyediakan kapasiti pembiayaan sehingga USD 25 juta bagi membolehkan Setlary mengembangkan dan meningkatkan portfolio pelanggan sedia ada.
Setlary juga berbangga menjadi satu-satunya platform EWA di Malaysia yang diiktiraf Patuh Syariah dan ESG.
Visi ‘Setiap Hari Adalah Hari Gaji Anda’
Pengasas Bersama Setlary, Charles Chew, menyatakan pelaburan ini merupakan “undi kepercayaan yang kukuh terhadap misi Setlary untuk mengubah kesejahteraan kewangan pekerja.

“Dorongan strategik ini memastikan lebih ramai pekerja dapat mengakses pendapatan yang telah diperolehi lebih awal dan mengakses program Kesejahteraan Setlary yang akan menjamin kestabilan kewangan jangka panjang.
“Matlamat utama Setlary adalah untuk menjadikan Setiap Hari adalah Hari Gaji Anda,” kata Chew.
Chew menambah, platform Setlary bukan sekadar menawarkan akses gaji tapi ia merupakan langkah proaktif untuk membantu pekerja, terutamanya golongan B40, mengelakkan pinjaman berfaedah tinggi (Ah Long) dan mendapatkan akses kepada program kebajikan.
Program-program sosial yang ditawarkan termasuk inisiatif seperti pemberian barang keperluan asas bulanan dan program insurans percuma bagi pekerja yang tidak mempunyai akses kewangan.
Rancangan pengembangan serantau Setlary kini termasuk Singapura, Indonesia, dan Thailand, dengan sasaran untuk meneroka pasaran seperti Filipina dan Kemboja.
Keyakinan Pelabur Terhadap Model Berskala
Irene Guo, Ketua Pegawai Eksekutif Lion X Ventures, menyifatkan Setlary menunjukkan persamaan yang kukuh dengan tesis pelaburan mereka untuk masa depan pekerjaan dan perkhidmatan kewangan bersepadu.

“Kami percaya teknologi, disiplin operasi, dan model yang mengutamakan pekerja, meletakkan majikan pada kedudukan terbaik untuk memberikan manfaat kesejahteraan kewangan yang bermakna kepada pekerja sambil membantu perusahaan meningkatkan produktiviti dan pengekalan pekerja.” katanya.

Sementara itu, Ang Xing Xian, Ketua Pegawai Eksekutif CapBay, menyatakan sokongan pembiayaan berstruktur ini akan memastikan akses gaji terperoleh disampaikan secara mampan, patuh, dan bertanggungjawab pada skala besar, selaras dengan perkembangan Setlary ke peringkat serantau Asia.
Setakat ini, Setlary telah mencatat kejayaan dengan mendaftarkan sekitar 70 syarikat di Malaysia, memanfaatkan perkhidmatan EWA untuk kira-kira 10,000 pekerja secara keseluruhan.
Status Setlary sebagai platform EWA di Malaysia yang diiktiraf patuh Syariah dan ESG menjadi nilai tambah yang unik dalam pasaran kewangan.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan program kesejahteraan kewangan Setlary, orang ramai boleh melayari laman web rasmi syarikat di www.setlary.my.




