Seorang Doktor dan Anak Parah Dirempuh Kenderaan Dipandu Pelajar Sekolah Menengah
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Seorang lelaki warga Indonesia, Agung Nugroho Darmawan, 40, yang merupakan seorang doktor, dan anaknya, Said Hassan, 4 tahun, cedera parah selepas dirempuh oleh sebuah SUV yang dipandu oleh seorang pelajar sekolah menengah.
Kejadian tragis itu berlaku pada Rabu lalu, sekitar jam 4.10 petang di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian, Kluang, Johor.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, siasatan awal mendapati bahawa ketika kejadian, SUV tersebut datang dari arah Bandar Kluang menuju ke Taman Seri Impian.
“Ketika sampai di tempat kejadian, SUV itu memasuki bulatan dan tiba-tiba Perodua Bezza pula keluar dari simpang sebelah kiri dan dilanggar oleh SUV itu,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Agung Nugroho dan anaknya yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian fizikal serta organ dalaman.
Agung Nugroho sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, manakala anaknya yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Polis turut mengesahkan bahawa pemandu SUV, yang merupakan pelajar sekolah menengah, memiliki lesen memandu yang sah.
Rakaman video kejadian daripada kamera papan pemuka kereta lain telah tular di media sosial, mencetuskan rasa simpati dalam kalangan netizen.
Netizen ramai yang mendoakan kesembuhan dan kebaikan untuk kedua-dua mangsa, dengan insiden ini meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai.