Sentuhan Zapin, Silat Warnai Pelancaran Jenama Keris & Co, Harga Serendah RM39
- oleh MDaily Editor
- 3 Mar 2026 2:27 am
Gabungan unik seni silat dan tarian zapin yang dipersembahkan secara flashmob di perkarangan pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang baru-baru ini, nyata mencuri tumpuan pengunjung sekali gus menjadi langkah berani jenama pakaian lokal, Keris & Co, dalam memperkenalkan identiti mereka kepada umum.
Pendekatan kreatif yang menggabungkan elemen tradisional Melayu dengan persekitaran moden itu bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya menarik minat pelancong asing untuk mendekati jenama yang baharu bertapak sejak tahun 2024 itu.
Pengasasnya, Hanzat Azmi, 31, berkata, flashmob dipilih sebagai medium promosi bagi menampilkan sisi jenama yang lebih santai, segar dan dekat dengan jiwa masyarakat.

“Kami memilih silat dan zapin kerana ia cukup sinonim dengan budaya Melayu. Apabila elemen tradisional ini digabungkan dengan suasana moden, ia mewujudkan impak visual yang unik serta mampu menarik perhatian ramai, termasuk pelancong luar negara yang berada di lokasi tumpuan ini,” katanya.
Dalam pada itu, sempena bulan Ramadan yang menjelang tiba, pihak jenama turut melancarkan inisiatif amal dengan mengagihkan 100 helai kurta secara percuma kepada orang ramai.
Menurut Hanzat, pemberian itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri kualiti premium fabrik yang digunakan, selain menggalakkan pemakaian baju Melayu atau kurta sebagai gaya harian yang versatil.

“Kurta kami bukan sahaja untuk lelaki, malah wanita juga boleh menggayakannya dengan padanan kain untuk tampil seperti baju kurung Kedah. Kami sangat menitikberatkan kualiti, kami menggunakan fabrik ‘Japanese Cotton’ yang premium, selesa, tidak mudah berbulu dan sangat sesuai dengan cuaca di Malaysia,” jelasnya.
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Hanzat berkata, pihaknya kini dalam proses merangka pembukaan outlet fizikal bagi memberi pengalaman beli-belah yang lebih peribadi kepada pelanggan.
“Selain sudah menembusi pasaran Singapura dan Brunei, kami juga merancang untuk mempelbagaikan lagi tawaran koleksi, termasuk pakaian wanita pada masa akan datang bagi menjadikan Keris & Co. sebagai jenama yang lebih inklusif dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,” ujarnya.

Walaupun menawarkan kualiti premium, Keris & Co. tetap komited mengekalkan harga mampu milik bermula RM39 hingga RM129 bagi setiap koleksi.
Setakat ini, jenama itu menawarkan lebih 40 pilihan warna merangkumi 18 koleksi yang boleh didapati sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform TikTok, Shopee serta laman web rasmi wwww.kerisandco.com




