Ikuti Kami:

Sentuhan Wira: Kejayaan Piala Thomas 1992 Diangkat ke Layar Perak

Sentuhan Wira: Kejayaan Piala Thomas 1992 Diangkat ke Layar Perak

Kemenangan penuh emosi Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 bakal diangkat ke layar perak menerusi filem Sentuhan Wira, sebuah naskhah epik yang mengetengahkan perjuangan atlet negara serta semangat kebangsaan yang menyatukan rakyat.

Lebih istimewa, dua lagenda yang menjadi nadi kejayaan skuad badminton negara ketika itu iaitu Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit akan bertindak sebagai penasihat filem.

Mereka terlibat langsung dalam penyelidikan skrip dan aspek teknikal bagi memastikan peristiwa sebenar dihidupkan dengan jujur dan bersemangat di layar.

Detik bersejarah 1992 menyaksikan pasukan badminton lelaki negara menamatkan kemarau 25 tahun dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.

Kejayaan itu mencetuskan euforia nasional apabila rakyat berpusu-pusu ke jalanan, langit diterangi bunga api, dan Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh negara.

“Ini bukan sekadar filem badminton, tetapi naskhah sinematik tentang perjuangan, kepercayaan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. Kami ingin generasi muda hari ini merasai getaran semangat yang sama dan meneruskannya,” kata Datuk Rashid Sidek mewakili Victory Pictures.

Pengarah berbakat Lenny Ooi akan menerajui projek ini dengan pendekatan visual yang segar dan mendalam.

Beliau menjanjikan babak perlawanan penuh realisme menerusi penggunaan kamera kadar bingkai tinggi, sinematografi bergaya serta penyuntingan yang padat dan dinamik bagi membangkitkan semangat dan ketegangan sebenar di gelanggang.

Pihak produksi turut mengumumkan sesi uji bakat terbuka di seluruh negara bagi mencari pelakon yang mampu membawakan watak-watak ikonik skuad 1992.


Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YB Dato’ Gerald Hans Isaac turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semalam.

Penekanan bukan sahaja diberikan kepada bakat lakonan, tetapi juga kemahiran bermain badminton serta nilai-nilai seperti disiplin, keberanian dan semangat berpasukan.

“Lebih daripada sekadar lakonan, kami sedang mencari mereka yang benar-benar memahami dan membawa semangat zaman itu,”

“Yang lebih penting, setiap calon harus memiliki nilai-nilai seperti keberanian, disiplin, semangat berpasukan dan rasa cinta kepada negara,” ujar Lenny Ooi.

Filem terbitan Victory Pictures ini diumumkan secara rasmi semalam dalam satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Sentuhan Wira dijangka memulakan penggambaran sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. Filem ini bukan sahaja akan menampilkan pelakon ternama tanah air, tetapi juga membawa aspirasi rakyat Malaysia untuk menghidupkan kembali detik kebanggaan nasional.

Melalui kisah perjuangan sebenar dan semangat tidak pernah menyerah kalah, Sentuhan Wira dijangka bukan sekadar filem sukan tetapi karya yang bakal meresap ke dalam jiwa penonton sebagai simbol harapan, pengorbanan dan perpaduan.

Foto Oleh: FINAS.

Komen
Loading...