Ikuti Kami:

Sentuhan Syafiq Yusof, Chui Tze Yiu Bakal Gegar Pawagam Menerusi ‘Black Ops’

Sentuhan Syafiq Yusof, Chui Tze Yiu Bakal Gegar Pawagam Menerusi ‘Black Ops’

Industri perfileman tempatan melakar sejarah baharu menerusi kerjasama rentas negara antara syarikat produksi gergasi Malaysia dan Hong Kong bagi menghasilkan filem aksi terulung tahun ini, Black Ops.

Naskhah berskala antarabangsa ini menyaksikan sinergi kreatif antara Skop Productions, Enotech, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, Astro Shaw, dan GSC bersama syarikat penerbitan tersohor Hong Kong milik bintang legenda Louis Koo, One Cool Film.

Kolaborasi ini bertambah utuh apabila naskhah ini mendapat sentuhan dua pengarah berkaliber tinggi, Syafiq Yusof dari Malaysia dan pengarah bersama dari Hong Kong, Chui Tze Yiu.

Gandingan Bintang Dua Negara Black Ops bukan sekadar mempertaruhkan kualiti produksi, malah menghimpunkan barisan pelakon “A-List” yang mempunyai peminat teguh di kedua-dua negara.

Buka Ruang ke Pasaran Antarabangsa Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif, Datuk Yusof Haslam menyuarakan harapan agar Black Ops menjadi jambatan untuk filem tempatan menembusi pasaran lebih luas.

“Kejayaan sesebuah filem terletak pada kekuatan cerita, lakonan yang jujur, serta sokongan padu rakyat Malaysia. Saya berharap kolaborasi dengan One Cool Film ini mampu membuka ruang lebih luas untuk industri kita melangkah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Nada optimis yang sama turut dikongsi oleh Pengarah One Cool Film, Tang Wai But yang menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah awal hubungan jangka panjang antara industri filem Hong Kong dan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan projek ini mencapai potensi maksimum dan menetapkan standard baharu dalam industri.

“Astro Shaw amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada projek ini. Hubungan strategik kami bersama Skop Productions yang telah terjalin sekian lama kini diperkukuhkan lagi melalui kolaborasi bersama penerbit terkemuka dari Hong Kong, menandakan langkah penting ke hadapan dalam memperluas kerjasama perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Dengan pengalaman dan keupayaan platform kami, Astro Shaw bersedia sepenuhnya untuk memastikan projek ini mencapai potensi maksima, serta menetapkan standard baru bagi industri perfileman tempatan.” katanya.

Antara nama besar yang menjayakan filem ini termasuklah Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, dan Elizabeth Tan.

Turut memantapkan barisan pelakon adalah MK K-Clique, Ahirine Ahirudin, Anding Indrawani, Raja Afiq, Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken), Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Azman Hassan, serta pelakon cilik, Rania Amanda.

Koreografi Aksi Bertaraf Dunia Menyedari jangkaan tinggi penonton terhadap genre aksi, Black Ops diterajui oleh dua pakar lagak ngeri antarabangsa, Ken Law (Super Ken) dan Sean Lin (Lin Li-Yang).

Ken Law merupakan pakar aksi Hong Kong yang juga calon Anugerah Golden Horse 2025, manakala Sean Lin adalah sebahagian daripada pasukan legenda Hung Ga Ban yang diasaskan oleh ikon aksi dunia, Sammo Hung.

Gabungan mereka menjanjikan babak aksi yang realistik dan berimpak maksimum, setaraf dengan piawaian sinema global.

Sinopsis Ringkas Black Ops mengisahkan Johan, seorang anggota pasukan elit yang terperangkap dalam konspirasi selepas didakwa membunuh isterinya selain kehilangan anak perempuannya.

Johan terpaksa berpaling tadah menentang pasukannya sendiri demi mendedahkan dalang sebenar dan menuntut kembali kehidupannya yang musnah.

Filem yang penuh dengan saspens dan aksi intensif ini dijadualkan menggegar pawagam pada penghujung tahun 2026.

Komen
Loading...