Ikuti Kami:

Sentuhan Peribadi Syasya Rizal Dalam ‘Inikan Hari Raya’ Buat Peminat

Sentuhan Peribadi Syasya Rizal Dalam ‘Inikan Hari Raya’ Buat Peminat

Penyanyi Syasya Rizal mencurahkan sentuhan peribadi dalam single Hari Raya terbaharu berjudul “Inikan Hari Raya,” sebuah karya yang membawakan mesej mendalam mengenai erti kesederhanaan dan rasa syukur dalam beraya.

Melalui percubaan sulung sebagai penulis lagu, Syasya membuktikan kematangan seninya dengan menterjemahkan pengalaman peribadi serta perspektif ikhlas mengenai sambutan lebaran yang sering kali disalah erti sebagai perlumbaan mengejar kemewahan luaran.

Menjelaskan inspirasi di sebalik karya tersebut, Syasya mengakui bahawa pemerhatiannya terhadap trend di media sosial mendorong beliau untuk tampil dengan peringatan yang lebih membumi.

“Bagi Syasya, Hari Raya sebenarnya sangat dekat dengan rasa syukur. Kadang-kadang bila kita tengok di media sosial, Raya nampak macam semuanya perlu besar dan sempurna, baju banyak pasang, rumah cantik, semuanya nampak mewah.”

“Tapi realitinya tak semua orang sambut Raya dengan cara macam tu. Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita,” ujarnya.

Dalam projek ini, Syasya tidak bergerak sendirian, sebaliknya beliau bekerjasama dengan Amirul Azhar dan Amir Firdaus untuk menterjemahkan emosi tersebut ke dalam melodi.

Beliau menyifatkan pengalaman menulis lagu buat kali pertama ini sebagai satu perjalanan yang sangat istimewa.

“Ini sebenarnya pengalaman pertama Syasya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. Jadi bagi Syasya, ia sangat istimewa sebab mesej yang disampaikan dalam lagu ini benar-benar datang daripada hati Syasya sendiri kepada para peminat,” katanya lagi.

Statusnya sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, Obot dan Obit, turut memberikan dimensi baharu dalam penghayatan Aidilfitri buat penyanyi tersebut.

Menurut Syasya, keutamaan kini telah beralih daripada sambutan peribadi kepada usaha untuk membina memori indah untuk zuriatnya.

“Sekarang Raya terasa lagi berbeza untuk Syasya sebab Syasya dah ada keluarga sendiri. Ada suami di sisi, dan sekarang ada dua bayi comel Obot dan Obit yang buat suasana Raya tu jadi lebih hidup.”

“Bila ada anak, kita mula sedar bahawa Raya bukan lagi tentang kita, kita mula cipta memori Raya untuk mereka pula,” jelasnya.

“Inikan Hari Raya” kini sudah boleh dinikmati oleh orang ramai di semua platform penstriman digital bermula hari ini.

Loading...