Sentuhan Peribadi Soloz Dalam Koleksi Fipper 2026, Tawarkan Dua Gaya Ikonik Buat Peminat
- oleh MDaily Editor
- 28 Feb 2026 5:30 pm
Jenama kasut gaya hidup tempatan, Fipper, sekali lagi mencipta fenomena dalam industri fesyen tanah air apabila melancarkan koleksi kedua hasil kolaborasi eksklusif bersama ikon e-sukan terkemuka, Soloz, hari ini.
Pelancaran Fipper X Soloz 2026 ini bukan sahaja menjadi kesinambungan kepada kejayaan koleksi sulung mereka pada tahun 2023, malah ia membuktikan sinergi yang semakin matang antara dunia e-sukan dan fesyen streetwear tempatan.
Menerusi koleksi kali ini, Soloz diberikan ruang kreatif yang lebih besar untuk mencorakkan rekaan, dengan 70 peratus daripada pilihan warna dan reka bentuk ditentukan sendiri oleh beliau bagi menepati citarasa peminat.

Koleksi tahun ini tampil lebih versatil dengan dua siluet berbeza bagi memenuhi keperluan demografi yang lebih luas:
Koleksi Slip-on: Direka khusus untuk golongan muda dan peminat e-sukan. Ia tampil lebih santai dan praktikal dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Rage Burst (Pink & Purple), Toxic Rush (Neon), dan Over Drive (Merah).
Koleksi Refitt: Menyasarkan kumpulan usia 30 tahun ke atas yang menggemari gaya lebih kemas dan matang. Koleksi ini menampilkan rekaan tali yang lebih tebal dan struktur yang mantap, hadir dalam dua warna eksklusif; Volt Signature (Neon) dan Crimson Legacy (Merah).
Setiap pasang koleksi ini turut dilengkapi dengan tandatangan eksklusif Soloz pada bahagian strap, menjadikannya simbol kolaborasi yang bernilai tinggi buat para pengumpul.
Pengurus Besar Fipper Malaysia, Fatin Fadila, menegaskan bahawa koleksi ini dihasilkan dalam kuantiti yang sangat terhad dan tidak akan dicetak semula bagi menjaga nilai eksklusivitinya.

“Kita hanya mengeluarkan lebih 10,000 pasang untuk siri Slip-on dan 6,000 pasang untuk siri Refitt. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan, malah salah satu pilihan warna bagi koleksi Slip-on sudah pun habis terjual secara dalam talian hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut.
Beliau menambah, penggunaan material baharu yang lebih tahan lasak dan selesa menjadi keutamaan dalam penghasilan koleksi 2026 ini bagi memastikan kualiti premium yang sinonim dengan jenama Fipper tetap terjaga.
Bagi Soloz sendiri, kolaborasi ini membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar jualan komersial.

“Bagi saya, nilainya adalah pada penghargaan. Ramai peminat saya terdiri daripada golongan muda yang menjadikan saya sebagai inspirasi. Apabila mereka memakai produk kolaborasi ini, ia memberi satu rasa kepuasan dan hubungan peribadi antara saya dan penyokong,” ujar Soloz.
Beliau turut menambah bahawa penglibatan dalam rekaan kali ini membolehkan beliau menghasilkan barangan yang bukan sahaja digemari oleh komuniti gamer, malah sesuai dipakai untuk pelbagai majlis, termasuklah ke masjid atau acara santai.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan koleksi Fipper X Soloz 2026 boleh mendapatkan produk ini di cawangan Fipper terpilih sementara stok masih ada, pada harga RM99.90 bagi model Slip-on dan RM79.90 bagi model Refitt.




