Ikuti Kami:

Sentuhan Fedtri Yahya, Barr Hadif Warnai ‘Buah Hati’ Buat Tomok

Sentuhan Fedtri Yahya, Barr Hadif Warnai ‘Buah Hati’ Buat Tomok

Penyanyi dan komposer popular, Tomok, membuka tirai tahun 2026 dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Buah Hati”, sebuah karya yang menggabungkan kepakaran penulis lirik tersohor Fedtri Yahya dan komposer Barr Hadif.

Lagu terbitan Popsicle Records itu mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang tanpa syarat, khususnya mengenai pengorbanan ibu bapa dalam membimbing serta melindungi anak-anak.

Tomok, atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, berkata naskhah tersebut sangat dekat di hati beliau kerana mesej yang ingin disampaikan adalah bersifat peribadi namun universal untuk semua pendengar.

“Alhamdulillah, ini permulaan yang baik untuk tahun ini. ‘Buah Hati’ diciptakan khas buat keluarga serta mereka yang saya sayangi. Sentuhan lirik oleh Fedtri Yahya menjadikan gabungan melodi dan mesej lagu ini sesuatu yang sangat istimewa,” katanya dalam satu kenyataan.

Apa yang menarik, pemenang program One In A Million itu turut mengambil pendekatan unik dengan melibatkan peminat secara langsung dalam pembikinan video lirik rasmi lagu berkenaan.

Video tersebut memaparkan koleksi foto peribadi peminat bersama insan tersayang masing-masing, sebagai tanda penghargaan Tomok terhadap sokongan setia para peminat sejak beliau memulakan kerjaya seni bersama kumpulan New Boyz pada 1999.

“Inisiatif ini adalah usaha saya untuk merapatkan hubungan emosi antara saya dan penyokong yang telah bersama-sama sepanjang perjalanan seni saya,” tambah beliau.

Selain aktif sebagai penyanyi, Tomok kini terus mengukuhkan profilnya sebagai usahawan seni melalui Popsicle Records yang ditubuhkan pada 2018, selain bertindak sebagai komposer eksklusif di bawah label Luncai Emas.

Sebelum ini, Tomok turut mencatatkan kejayaan menerusi kolaborasi bersama Siti Nordiana menerusi lagu “Memori Mungkin Berulang” yang menerima sambutan hangat di pelbagai platform digital.

Single “Buah Hati” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Popsicle Records bermula hari ini.

Komen
Loading...