Ikuti Kami:

Sentuhan Edry Abdul Halim Menerusi Single ‘Pertama’ Syamel

Sentuhan Edry Abdul Halim Menerusi Single ‘Pertama’ Syamel

Penyanyi yang terkenal dengan kemampuan vokal tinggi, Syamel, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan nafas baharu menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul “PERTAMA”.

Karya yang mendapat sentuhan emas komposer tersohor, Edry Abdul Halim ini, menyaksikan satu transformasi berani buat Syamel yang sebelum ini cukup sinonim dengan naskhah balada menyentuh emosi.

Menerusi “PERTAMA”, Syamel tampil dengan sisi muzik yang lebih groovy, moden, dan sarat dengan karakter tersendiri, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya.

Menurut Syamel, bekerjasama dengan Edry memberikan dimensi berbeza terhadap persembahan vokalnya yang kali ini lebih santai namun penuh dengan attitude.

“Edry banyak menekankan soal rasa (feel) dan gaya untuk lagu ini. Beliau mahu saya tampil dengan tenaga yang berbeza, dan itulah yang menjadikan ‘PERTAMA’ sangat menarik untuk diterokai,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Lagu ini mengangkat tema cinta pandang pertama dalam konteks yang lebih luas. Ia tidak terhad kepada hubungan sesama manusia, sebaliknya merangkumi perasaan teruja apabila melihat sesuatu yang diminati seperti rumah atau kereta idaman.

Bagi melengkapkan penceritaan lagu tersebut, video muzik (MV) “PERTAMA” hadir dengan konsep sinematik unik yang menampilkan penglibatan personaliti media sosial popular, Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander.

Menariknya, Syamel turut mendedikasikan karya ini sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang menjadi tulang belakangnya sejak awal pembabitan dalam dunia seni.

“Mereka adalah insan yang nampak bakat saya sebelum orang lain nampak. Jadi, lagu ini saya tujukan khas buat mereka yang sentiasa menjadi yang ‘pertama’ di hati saya,” tambahnya lagi.

“PERTAMA” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital dan video muzik rasmi di saluran Youtube SyamelVEVO.