Ikuti Kami:

Sentuhan 72 Pemuzik Orkestra Tempatan Hidupkan Karya ‘The Lion King’ Jun Ini

Sentuhan 72 Pemuzik Orkestra Tempatan Hidupkan Karya ‘The Lion King’ Jun Ini

Dari kiri: En. Eric Lee (Konduktor Residen NSO), Dato’ Grace Lee (Pengarah Urusan Milestone Production), dan Pn. Hanida binti Mohamed Yusof (Pengarah Produksi & Menanggung Kerja TKP Artistik Istana Budaya).

Buat julung kalinya, peminat setia karya animasi agung Disney, The Lion King, bakal merasai pengalaman sinematik luar biasa apabila filem berkenaan dipersembahkan dalam bentuk konsert secara langsung di ibu kota pada Jun depan.

Pementasan eksklusif bertajuk Disney’s The Lion King Live in Concert itu bakal menyaksikan gabungan mantap antara visual filem klasik 1994 dengan iringan muzik secara langsung oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) atau lebih dikenali sebagai National Symphony Orchestra (NSO).

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 13 Jun 2026 di Plenary Hall, KLCC, merupakan satu pencapaian besar buat industri seni tempatan.

Menurut Pengarah Urusan Milestone Production, Dato’ Grace Lee, pementasan ini bukan sekadar hiburan, malah merupakan inisiatif strategik dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Konsert ini dijangka menarik kehadiran penonton bukan sahaja dari dalam negara, malah dari rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand, Vietnam, dan Indonesia, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi hiburan keluarga bertaraf dunia,” katanya pada sidang media di Istana Budaya, semalam.

Di bawah pimpinan Konduktor Residen, Eric Lee, seramai 72 pemuzik orkestra tempatan akan mengalunkan skor muzik ikonik hasil gubahan pemenang Anugerah Oscar, Hans Zimmer.

Pemilihan NSO oleh Disney Concerts membuktikan kemampuan pemuzik tanah air dalam memenuhi piawaian teknikal dan kecemerlangan muzik di peringkat global.

Mengulas lanjut, Eric Lee berkata, persembahan itu bakal menjanjikan kelainan berbanding hanya mendengar rakaman audio kerana penonton dapat merasai sendiri tenaga dan emosi daripada sebuah orkestra secara langsung di atas pentas.

“Penonton dapat merasai impak sepenuhnya, resonans dan bunyi yang dihasilkan. Melalui skor muzik ikonik Hans Zimmer, audiens boleh menghargai kekayaan penyusunan orkestra serta harmoni hebat yang menjadikan ia antara runut bunyi filem terlaris sepanjang zaman,” katanya.

Penonton bakal dibawa mengembara ke Savannah, Afrika melalui lagu-lagu malar segar seperti Circle of Life, Hakuna Matata, dan Can You Feel the Love Tonight.

Kehadiran orkestra penuh di atas pentas memberikan dimensi bunyi yang lebih bertenaga dan beremosi berbanding rakaman audio biasa.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Artistikan) Istana Budaya, Puan Hanida, menegaskan bahawa penglibatan NSO dalam produksi berskala besar ini penting bagi memastikan ekosistem budaya negara terus mampan dan relevan di persada antarabangsa.

“Selain menyokong pementasan Disney’s The Lion King Live In Concert, Istana Budaya terus memainkan peranan penting dalam menghasilkan dan memupuk persada seni persembahan Malaysia pada standard antarabangsa, sekali gus memastikan ekosistem budaya negara kekal mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Tiket bagi menyaksikan persembahan gah ini dijual pada harga bermula RM168 sehingga RM638, manakala pemegang kad UOB berpeluang menikmati potongan harga sehingga 20 peratus bagi setiap pembelian tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dilakukan menerusi laman web rasmi di www.milestone-entertainment.com.

Loading...