Ikuti Kami:

SenarioUnion Sedia ‘All-Out’ Di Idea Live Arena, Bakal Berzapin Bersama Aina Abdul

SenarioUnion Sedia ‘All-Out’ Di Idea Live Arena, Bakal Berzapin Bersama Aina Abdul

Selepas tiga dekad menghiburkan rakyat Malaysia, kumpulan komedi legenda, SenarioUnion, sedia memberikan persembahan paling ikonik menerusi Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun yang bakal berlangsung di Idea Live Arena pada 25 April depan.

Dibarisi anggota asal iaitu Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek, dan Yassin Yahya, konsert ini bukan sekadar pentas lawak jenaka, malah bakal menjadi naskhah penghargaan buat peminat setia yang membesar dengan karya mereka sejak awal 1990-an.

Bakal menampilkan kelainan yang jarang disaksikan, SenarioUnion mengesahkan kehadiran bintang vokal negara, Aina Abdul sebagai artis jemputan.

Lebih menarik, peminat bakal menyaksikan sisi berbeza Aina yang akan membawakan irama zapin secara langsung bersama kumpulan tersebut.

Wakil penganjur Dreamscape Events, Ali, berkata pemilihan Aina dibuat berdasarkan keunikan vokal dan pengaruh besar penyanyi itu dalam industri muzik masa kini.

“Ini adalah satu kejutan buat peminat. Kita tahu Aina mempunyai kekuatan vokal yang hebat, dan buat pertama kalinya, orang ramai akan melihat beliau menyanyi lagu zapin secara ‘live’. Ia adalah satu kolaborasi yang sangat unik,” katanya pada sesi latihan di Studio Shoreline Space, Setapak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Muzik, Chaan, memaklumkan sebanyak 22 buah lagu termasuk rangkaian medley bakal dipersembahkan dengan gubahan muzik yang lebih segar namun tetap mengekalkan identiti asal Senario.

“Ada lagu yang saya ubah susunannya secara total untuk memberi ‘mood’ konsert sebenar, dan ada yang dikekalkan mengikut versi asal demi mengubati rindu peminat. Cabaran utama sudah tentu memastikan susunan muzik ini selesa dengan vokal abang-abang Senario,” jelasnya.

Bagi anggota SenarioUnion, konsert ini dianggap sebagai ‘titik penghargaan’ sepanjang perjalanan seni mereka. Azlee Jaafar, 58, mewakili rakan-rakannya menyatakan komitmen untuk memberikan persembahan bertenaga untuk peminat setia mereka.

“Kami harap ini menjadi memori paling indah buat peminat. Kami akan ‘all-out’ dan bagi persembahan terbaik pada konsert nanti. Kami juga terharu kerana Aina Abdul sudi bersama kami, sedangkan kita tahu dia adalah nama besar dalam industri sekarang,” ujarnya.

Setakat ini, jualan tiket dilaporkan sudah mencecah 85 peratus, penganjur turut membuka kategori tambahan “Usik Mengusik” yang menawarkan kira-kira 200 tempat duduk terhad di bahagian belakang dewan.

Tiket-tiket bagi kategori lain seperti Motor Kapchai (RM138), Usik Mengusik (RM168), Cinta Berkarat (RM188), Lip Lap Lip Lap (RM268), Sebelum dan Sesudah (RM268), Cinta Sate (RM288), Cari Tapak (RM388) dan Cepat Kaya (RM488) masih boleh didapati menerusi laman web www.ilassotickets.com.