Ikuti Kami:

Senariounion Buktikan Kuasa ‘Lagu Rakyat’ Mampu Satukan Pelbagai Generasi

Senariounion Buktikan Kuasa ‘Lagu Rakyat’ Mampu Satukan Pelbagai Generasi

Selepas tiga dekad menghiasi industri hiburan tanah air, kumpulan lawak legenda, Senariounion membuktikan pengaruh mereka masih belum pudar apabila berjaya menghimpunkan ribuan peminat daripada pelbagai lapisan usia dalam satu konsert penuh nostalgia, malam tadi.

Berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara, konsert bertajuk The Last Kopek Senariounion 30 Tahun itu menyaksikan kehebatan Azlee, Saiful Apek, Yassin, Mazlan Pet Pet, Pak Ya, dan Wahid dalam menterjemahkan karya mereka yang kini diangkat sebagai ‘lagu rakyat’.

Kehadiran peminat yang melimpah ruah bukan sahaja terdiri daripada golongan dewasa yang membesar dengan sitkom Senario, malah turut disertai generasi muda yang datang dari serata negeri termasuk Singapura demi menyaksikan idola mereka secara langsung.

Anggota kumpulan itu, Azlee Jaafar menyifatkan sambutan hangat berkenaan sebagai sesuatu yang luar jangkaan dan membuktikan bahawa karya Senario mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia.

“Saya rasa amat bersyukur. Ya Allah, semangat yang diberikan penonton memberi tenaga kepada kami yang sudah ‘otai’ ini untuk terus menghiburkan keluarga besar kami dalam kedamaian.

“Lagu-lagu Senario ini adalah lagu rakyat, lagu orang biasa yang mempunyai perjalanan cerita tersendiri. Walaupun sudah puluhan tahun, ia tetap relevan dan mampu menyatukan semua yang hadir,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas konsert berakhir.

Persembahan malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi vokal tersohor, Aina Abdul yang tampil memberikan sentuhan istimewa.

Aina memukau penonton apabila berduet dua buah lagu bersama Senariounion menerusi rangkaian lagu irama tradisional, Zapin Cinta SMS dan Zapin Usin Mengusik.

Azlee memuji komitmen Aina yang disifatkan sangat efisien dan memberikan persembahan terbaik walaupun hanya sempat menjalani latihan dalam tempoh yang singkat.

Momen paling menyentuh hati adalah apabila Senariounion menyerahkan trofi Artis Komedi Popular (ABPBH 36) kepada Haqem, iaitu anak kepada arwah Hamdan, sebagai simbolik mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham terhadap kumpulan itu.

Penyerahan tersebut dilakukan secara berkumpulan di atas pentas sebagai tanda kasih peminat yang masih utuh buat arwah.

Selain rangkaian lagu hits seperti Cepat Kaya dan Cinta Berkarat, segmen mengimbau zaman Passport Kegemilangan turut membawa penonton mengimbau kembali detik awal kemunculan mereka yang pernah mencetuskan fenomena besar suatu ketika dahulu.

Menyentuh mengenai masa depan kumpulan itu, Azlee memberi bayangan bahawa ‘The Last Kopek’ mungkin bukan penamat buat mereka.

“Melihat sambutan luar biasa malam ini, kami berbincang mungkin akan ada ‘The Last Kopek 2.0’. Jika diizinkan Allah, kami mungkin akan tampil dengan konsep berbeza seperti muzikal atau orkestra dalam masa setahun dua lagi,” katanya.

Konsert berkenaan berakhir dengan penuh emosi melalui lagu Sebelum Sesudah dan Cari Tapak, meninggalkan kesan mendalam buat peminat yang rata-ratanya hadir untuk mengimbau memori indah zaman kanak-kanak mereka.