Senariounion Adakan Konsert ‘The Last Kopek’ Himpun Azlee, Apek, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya, Yassin
- oleh MDaily Editor
- 10 Dec 2025 1:14 pm
Kumpulan ikon komedi negara, Senariounion, disahkan akan kembali ke pentas untuk sebuah konsert berskala mega, The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun, sekali gus meraikan tiga dekad penubuhan mereka.
Konsert yang dinanti-nantikan ini akan menyatukan semula enam anggota legenda asal iaitu Azlee Jaafar, Saiful Apek, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Ilya Buang, dan Yassin Yahya dalam sebuah persembahan eksklusif di Idea Live Arena pada 25 April tahun depan.
Wakil Penganjur Dreamscape Events, Amardip Singh Pannu, berkata penganjuran ini adalah untuk memenuhi permintaan peminat yang merindui kehadiran Senariounion dalam sebuah konsert besar.

“The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun adalah yang pertama seumpamanya selepas lama Senariounion tidak muncul dengan sebuah konsert mega. Ia bakal mencipta momen bersejarah, mengembalikan nostalgia ke era emas komedi tanah air,” katanya.
Pannu menambah, konsert itu juga sebagai penghormatan kepada kumpulan Senariounion yang ditubuhkan pada tahun 1996 dan meninggalkan banyak kenangan manis, termasuk sitkom popular mereka di TV3 serta beberapa album studio dengan lagu-lagu hits seperti Sebelum dan Sesudah serta Cinta Berkarat.

Persembahan tersebut menjanjikan gabungan nyanyian dan lawak jenaka santai, diiringi pemuzik seramai tujuh orang, termasuk pemain horn dan akordian, dengan susunan muzik baharu yang segar oleh Chaan & The Leman Band sebagai Pengarah Muzik.
Tiket-tiket untuk konsert ini boleh didapatkan dengan melayari laman sesawang www.ilassotickets.com/Senariounion atau di www.fantopia.io, dengan harga bermula dari RM138 hingga RM488.




