Ikuti Kami:

‘Senafas’ Allan Andersn Bergandingan dengan ‘Raja OST’ Farouk Roman

‘Senafas’ Allan Andersn Bergandingan dengan ‘Raja OST’ Farouk Roman

Penyanyi Allan Andersn membuat langkah berani keluar dari zon selesanya apabila muncul dengan single terbaharu berjudul ‘Senafas’, sebuah kolaborasi istimewa bersama komposer terkemuka Malaysia yang digelar Raja OST, Farouk Roman.

Lagu balada berkualiti yang sarat emosi ini bukan sekadar buah tangan terbaharu Allan, malah mencipta lembaran baharu dalam kerjaya seninya kerana menjadi naskhah pertama yang dinyanyikan hasil ciptaan komposer dan penulis lirik Malaysia.

“Saya benar-benar teruja dapat bekerjasama dalam projek ini. Sebagai seorang singer-songwriter, ini kali pertama saya menyanyikan lagu ciptaan komposer serta penulis lirik Malaysia dan pengalaman ini sangat bermakna,” kata Allan.

Lebih istimewa lagi, kolaborasi ini diangkat sebagai jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia, memadukan kepakaran komposer tempatan dengan bakat vokal Allan yang semakin dikenali di peringkat serantau.

Menggambarkan pengalaman bekerja bersama Farouk, Allan menyifatkan proses rakaman lagu terbitan SAAS Music Entertainment ini sebagai satu pelajaran baharu.

“Lebih istimewa lagi, saya diberi kepercayaan untuk membawakan karya Farouk Roman, seorang komposer yang dihormati ramai. Saya keluar daripada zon selesa dan menganggap jalinan kerjasama ini sebagai lembaran baharu dalam kamus muzik saya,” tambahnya.

Lagu ‘Senafas’ yang menemui peminat bermula hari ini, 5 Disember 2025, mengisahkan cinta yang penuh liku, di mana seseorang rela menanggung duka dan dihancurkan berkali-kali, namun tetap menyayangi dengan sepenuh hati.

Pengarah muzik video ‘Senafas’ yang dibintangi oleh Allan sendiri bersama Rendy Wicaksana itu turut melahirkan rasa gembira apabila lagu ini dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama terbaharu Astro Prima, ‘Setiaku Berdiri’.

Drama bersiri terbitan Radius One Sdn Bhd, yang mendapat sentuhan pengarah Rashid Sibir, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina dan Aidit Noh.

“Saya teruja kerana peluang kerjasama ini membuka peluang untuk karya nyanyian saya ditampilkan dalam naskhah istimewa berjudul ‘Setiaku Berdiri’.

“Sudah pasti, saya gementar menanti reaksi peminat, tetapi saya yakin lagu ini bakal meninggalkan kesan dalam hati mereka yang mendengar,” katanya.

Lagu ‘Senafas’ boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik dan muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube Allan Andersn.

Komen
Loading...