Ikuti Kami:

Seminyak Perkenal Keunikan Rasa Autentik Bali di KLGCC Mall

Seminyak Perkenal Keunikan Rasa Autentik Bali di KLGCC Mall

Dari kiri: Leta Juangku, Lina Rahim dan Datin Nelydia.

Penggemar masakan Indonesia kini mempunyai destinasi baharu untuk melepaskan rindu terhadap hidangan autentik Bali dengan pembukaan rasmi cawangan kedua Seminyak Indonesian Soulfood di KLGCC Mall, hari ini.

Pembukaan cawangan premium ini merupakan langkah strategik jenama itu selepas kejayaan cawangan sulungnya di Sunway Pyramid pada Jun tahun lalu.

Ia sekali gus mengukuhkan portfolio perniagaan yang diterajui oleh empat rakan niaga, Lina Rahim, Leta Juangku, Tania Arlene dan selebriti popular, Datin Nelydia.

Menurut Lina Rahim, penubuhan restoran ini bermula daripada hubungan akrab yang terjalin antara mereka serta sokongan padu daripada suami masing-masing.

“Kita sebenarnya dah lama berkawan dan sangat rapat. Malah, suami kami juga mempunyai hubungan baik sesama mereka.

“Jadi, sebagai isteri kami berfikir bagaimana nak rapatkan lagi hubungan ini dan timbul idea daripada suami untuk kami mengemudi perniagaan bersama. Dari situlah tercetusnya idea untuk membuka restoran ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran hari ini.

Senada dengan itu, Datin Nelydia berharap kerjasama melalui Seminyak Indonesian Soulfood ini akan menjadikan ikatan persahabatan mereka lebih utuh.

“Sebelum ini kami bertiga memang sudah berkawan rapat, jadi dengan membuka restoran Seminyak ini, diharapkan hubungan kami menjadi lebih akrab,” jelasnya.

Seminyak Indonesian Soulfood membawa kelainan dengan memperkenalkan konsep Indonesian Rice Bowl Nasi Jinggo, menjadikannya antara jenama terawal di Malaysia yang menawarkan hidangan ikonik Bali tersebut secara autentik.

Antara menu yang menjadi pilihan utama termasuklah Nasi Jinggo Ayam Bakar, Nasi Jinggo Empal Beef Seminyak, dan Nasi Jinggo Bebek Kremes yang disajikan bersama nasi kukus serta lauk-pauk berempah.

Sementara itu, Leta Juangku menegaskan bahawa kualiti bahan adalah keutamaan mereka dengan memfokuskan kepada penggunaan bahan organik bagi mengekalkan rasa asli dari wilayah Timur.

“Apabila anda datang ke Seminyak, anda boleh menikmati makanan yang sedap dan kami berusaha sebaik mungkin untuk menghidangkan makanan organik agar rasanya kekal seperti di tempat asalnya. Indonesia mempunyai kepelbagaian makanan yang unik dan itulah yang membuatkan Seminyak berbeza,” katanya.

Terletak di lokasi strategik dengan pemandangan padang golf yang eksklusif, cawangan di KLGCC Mall ini mensasarkan pelanggan yang mencari pengalaman menjamu selera yang moden dan selesa dengan purata perbelanjaan antara RM40 hingga RM70 seorang.

Bagi perancangan masa depan, Seminyak Indonesian Soulfood berhasrat untuk memperluaskan operasi ke luar Kuala Lumpur serta meneroka peluang ke pasaran ASEAN melalui kerjasama strategik atau usaha sama (JV).

Semua hidangan di restoran ini disediakan menggunakan bahan-bahan segar daripada pembekal yang disahkan halal, bagi memastikan keyakinan dan kepuasan pelanggan tetap terpelihara.

Loading...