Sembilu The Reunion: Vokal ‘Telan Kaset’ Awie, Ziana dan Erra Pukau 10,000 Penonton di Axiata Arena
- oleh MDaily Editor
- 8 Feb 2026 2:47 pm
Kerinduan peminat terhadap nostalgia filem fenomena era 90-an terubat apabila hampir 10,000 penonton membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menyaksikan Konsert Sembilu The Reunion – Live in Concert, malam tadi.
Konsert yang menyatukan kembali tiga tunjang utama filem berkenaan Dato’ Awie, Ziana Zain, dan Erra Fazira bukan sahaja berjaya membangkitkan memori lama, malah membuktikan bahawa kualiti vokal ketiga-tiga legenda ini tetap ampuh dan tidak dimakan usia.
Sepanjang hampir tiga jam persembahan, penonton disajikan dengan 24 buah lagu secara keseluruhan yang merangkumi lagu-lagu solo hits, segmen akustik, dan gandingan duet yang cukup ikonik.

Dato’ Awie nyata tidak hilang ‘taringnya’ apabila menguasai pentas dengan aura rockstar yang cukup karismatik. Memulakan aksi dengan Rock N Roll Ronda Ronda, beliau membuktikan mengapa beliau kekal sebagai Raja Rock tanah air dengan vokal yang bertenaga dan mantap.
Keupayaan Awie menyampaikan lagu-lagu berhantu seperti Di Ambang Wati, Ukiran Jiwa, dan Di Penjara Janji dalam nada asal mendapat pujian melambung, malah penonton turut bersama-sama menyanyikan lagu (sing-along) sehingga menggegarkan stadium.
Keserasian beliau bersama Erra Fazira menerusi lagu Cinta Makrifat serta duet bersama Ziana Zain dalam Senja Nan Merah menjadi antara kemuncak paling beremosi pada malam tersebut.

Ziana Zain terus membuktikan kehebatannya sebagai ‘High Note Queen’ tanah air. Meskipun usia mencecah angka matang, Ziana langsung tidak mempunyai masalah menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi seperti Madah Berhelah dan Kemelut Di Muara Kasih tanpa cacat cela, sekali gus mengundang sorakan gemuruh peminat.
Suasana di Axiata Arena bertukar hiba apabila Ziana dilihat gagal menahan emosi dan mengalirkan air mata ketika di atas pentas.
Meskipun ramai menyangka titisan air mata itu berkaitan dengan lirik lagu-lagunya yang sering dikaitkan dengan perjalanan hidupnya, Ziana tampil menjelaskan perkara sebenar menerusi ucapan khas mengenai pemergian ayahnya, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, Ogos tahun lalu.

Tidak ketinggalan, kehadiran Primadona Erra Fazira di atas pentas nyata mencuri tumpuan dengan imej penuh elegan. Beliau bukan sahaja menghidupkan kembali karakter ‘Wati’ yang cukup ikonik, malah membuktikan keupayaan vokalnya masih di tahap terbaik menerusi lagu-lagu malar segar seperti Hanya Di Mata, Cinta Abadi, dan Pasrah.
Setiap bait lirik yang disampaikan Erra kedengaran cukup bertenaga dan sarat dengan emosi, seolah-olah membawa penonton kembali ke era kegemilangan filem Sembilu.
Keupayaan beliau mengekalkan kualiti vokal yang konsisten sepanjang segmen solo miliknya meraih pujian penonton yang terpukau dengan kelembutan namun ketegasan vokalnya yang masih ‘on point’ seperti rakaman kaset.

Pujian harus diberikan kepada penganjur, Ideatelier, yang diketuai oleh pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail. Walaupun ini merupakan konsert mega pertama mereka di Axiata Arena, kualiti produksinya daripada sistem bunyi yang mantap sehingga ke visual skrin gergasi berada pada kelas tersendiri.
Melihat kepada kejayaan luar biasa tersebut, pihak penganjur membawa khabar gembira buat peminat di seberang tambak.
“Melihat sambutan luar biasa di Kuala Lumpur, Ideatelier dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Sembilu The Reunion Live In Concert akan dibawa ke Singapura pada April 2026, membuka lembaran baharu untuk karya ikonik ini terus merentas sempadan,” ujar kenyataan pihak penganjur.
Konsert diakhiri dengan persembahan encore yang paling dinantikan, di mana Awie, Erra, dan Ziana bergabung suara menerusi lagu Halaman Asmara, meninggalkan kenangan manis buat semua peminat yang hadir.




