‘SEMBILU’: Konsert Reunion Dato Awie, Erra Fazira, Ziana Zain Janjikan Pengalaman Sinematik Penuh Emosi
- oleh MDaily Editor
- 4 Dec 2025 8:08 pm
Fenomena filem pecah panggung yang menggegarkan era 90-an, Sembilu, bakal kembali mengisi jiwa peminat melalui persembahan mega yang dinantikan, ‘Sembilu The Reunion Live In Concert’.
Konsert penuh nostalgia ini bakal menghimpunkan semula tiga nama lagenda yang menjadi tunjang kejayaan filem tersebut iaitu Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain di pentas Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 7 Februari 2026.
Konsert anjuran IDEATELIER ini dijangka menjadi acara hiburan paling monumental pada awal tahun 2026, menjanjikan bukan sekadar persembahan muzik, malah sebuah pengalaman sinematik yang sarat dengan memori.

Di bawah naungan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, ‘Sembilu The Reunion Live In Concert’ akan menampilkan 22 buah lagu ikonik daripada era kegemilangan filem Sembilu.
Setiap lagu dipilih untuk membawa penonton mengimbas kembali detik-detik emosi, konflik, dan cinta yang pernah mewarnai fenomena tersebut.
Ezuwan Ismail, selaku penganjur, menegaskan konsert ini bertujuan untuk menyatukan peminat lama dan baharu.

“Sembilu bukan sekadar filem. Ia ialah detik yang mengubah landskap hiburan negara. Saya mencadangkan konsert ini kerana mahu generasi baharu merasai keindahan karya yang pernah menjadi nadi masyarakat kita, dan dalam masa sama memberi ruang kepada peminat lama untuk menghidupkan kembali memori mereka,” katanya.
Keunikan konsert ini terletak pada konsep persembahan yang dibina dengan elemen sinematik yang unik.
Dekorasi pentas berskala besar bakal menampilkan suasana seolah-olah penonton berada di dalam panggung wayang, diiringi visual dramatik, pencahayaan artistik, serta elemen penceritaan yang diinspirasikan daripada babak ikonik filem Sembilu.

Pengarah muzik ternama, Aubrey Suwito, pula diberi tanggungjawab besar untuk menggubah semula lagu-lagu legendaris ini.
“Dengan kepakarannya, gubahan lagu untuk malam itu akan membawa pengalaman bunyi yang luar biasa. Beliau akan menyuntik sentuhan peribadi, memastikan setiap not dan irama membawa penonton ke dalam dunia penuh emosi dan kenangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Dato Awie menyifatkan Sembilu sebagai satu perjalanan emosi yang besar dalam hidupnya.

“Dapat menyanyikan semua lagu ini bersama penonton yang membesar dengan karya ini adalah satu penghargaan yang sangat besar,” katanya.
Sementara itu, Erra Fazira pula berkata beliau percaya ramai yang masih menyimpan memori dengan filem dan lagu-lagu Sembilu

“Saya percaya ramai yang masih menyimpan memori dengan filem dan lagu-lagu Sembilu. Konsert ini seakan memberi peluang kepada kita untuk kembali membuka album kenangan itu.” katanya.
Dalam pada itu, Ziana Zain turut tidak sabar untuk untuk menghidupkan semula magis lagu-lagu era Sembilu.

“Lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan dalam era Sembilu membawa jiwa yang tersendiri. Saya tak sabar untuk menghidupkan semula magis itu di pentas.” katanya.
Tiket untuk ‘Sembilu The Reunion Live In Concert’ akan mula dijual pada Isnin, 8 Disember 2025, bermula jam 12 tengah hari melalui platform rasmi www.ticket2u.com.my/sembilu.
Harga tiket ditawarkan mengikut zon, bermula dari Zon Pasrah (RM149) hingga kategori premium Zon Sembilu (RM1389).
Kategori lain termasuk Zon Tragedi Oktober (RM249), Zon Halaman Asmara (RM289), Zon Cinta Abadi (RM349), Zon Anggapanmu (RM489), dan Zon Di Ambang Wati (RM689).
Peminat disarankan untuk bersedia merebut tiket bagi mengelakkan kekecewaan menyaksikan penyatuan semula fenomena muzikal yang dijangka mengikat dua generasi ini.




