Ikuti Kami:

Sembilan Bintang Sabah Bersinar di “A Night With Sumandak Stars”

Sembilan Bintang Sabah Bersinar di “A Night With Sumandak Stars”

Sembilan penyanyi wanita kelahiran Sabah mencuri perhatian di Zepp Kuala Lumpur malam tadi menerusi konsert “A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku”, anjuran Orange International Entertainment.

Persembahan mereka berjaya memukau ribuan penonton membuktikan kehebatan bakat seni dari negeri di bawah bayu ini.

Barisan artis terkenal, termasuk Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah, dan Wani Kayrie, bersatu di atas satu pentas untuk mencipta malam penuh magis dengan setiap daripada mereka membawa keunikan tersendiri, memberikan persembahan bertenaga yang disambut dengan sorakan gemuruh.

Lagu pembukaan, “Sumandak Sabah”, membuka tirai dengan penuh semangat, sebelum artis-artis ini bergilir-gilir mempersembahkan lagu hits mereka.

Marsha menyerlah dengan “Cinta”, manakala Bella dan Didi Astillah menunjukkan bakat generasi muda Sabah melalui “Bermanja-manja”.

Ayu Damit, pemenang One In A Million, membawa kembali nostalgia dengan lagu “Hanya Di Mercu”.

Penutup paling memukau adalah persembahan Azharina dengan “Rawan” dan “Elegi Sepi”, yang menggegarkan dewan dengan vokalnya yang luar biasa.

Kejutan istimewa berlaku apabila semua artis kembali ke pentas untuk menyampaikan medley lagu “Anak Kampung” dan “Original Sabahan”, mencetuskan suasana penuh keakraban. Penonton turut bernyanyi bersama, menjadikan malam itu sebagai pengalaman yang sukar dilupakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, melahirkan rasa bangga atas kejayaan konsert tersebut.

“Malam ini adalah bukti kehebatan bakat kelahiran Sabah yang telah mencipta nama di persada muzik tanah air. Sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan terbesar untuk kesemua artis yang terlibat,” kata Dato’ Fadzli.

Acara turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin, dan Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah, yang hadir khas dari Sabah.

Dengan sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia, Singapura, dan Brunei, konsert ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, yang merancang membawa acara ini ke Sabah pada tahun hadapan.

Konsert ini bukan sahaja mengangkat bakat seni kelahiran Sabah, tetapi juga membuktikan komitmen Orange International Entertainment dalam menyatukan rakyat melalui seni muzik yang berkualiti.

Kejayaan ini dijangka membuka jalan untuk lebih banyak acara berprestij pada masa akan datang.

Komen
Loading...