Ikuti Kami:

Selepas Sedekad ‘Pesan Dari Tuhan’, Erma Fatima Kembali Beraksi Di Set Penggambaran

Selepas Sedekad ‘Pesan Dari Tuhan’, Erma Fatima Kembali Beraksi Di Set Penggambaran

Selepas hampir 10 tahun tidak menduduki kerusi pengarah sejak naskhah hebat Pesan Dari Tuhan, penerbit dan pelakon veteran, Erma Fatima, mencetuskan spekulasi bakal kembali mewarnai dunia pengarahan tidak lama lagi.

Erma, atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, mencuri perhatian peminat selepas berkongsi beberapa keping foto di laman Instagram miliknya yang memaparkan dirinya berada di set penggambaran sebuah projek istimewa.

Meskipun tidak memperincikan butiran projek berkenaan secara mendalam, perkongsian tersebut memberi bayangan jelas bahawa pengarah berkaliber ini sedang mengemudi sebuah karya kerjasama antara dua negara, Malaysia dan Indonesia.

“Lama tak rasa macam ini (begini),” tulisnya ringkas pada hantaran yang turut memaparkan barisan pelakon ‘A-list’ seperti Datin Seri Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah, dan Anna Jobling.

Mengukuhkan lagi desas-desus kepulangannya, Erma ketika dihubungi media menjelaskan kehadiran beliau di set tersebut adalah untuk melepaskan rindu terhadap kerja-kerja di belakang tabir yang sudah lama ditinggalkan.

“Lepas gian selepas 10 tahun tidak mengarah. Saja suka-suka, setakat ini tidak tahu lagi mana nak tayang,” katanya.

Projek terbaharu itu turut melibatkan bintang ternama dari seberang termasuk Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg, dan Valentino, sekali gus memberi gambaran ia merupakan sebuah naskhah berskala besar.

Untuk rekod, Erma merupakan pemenang anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7. Kali terakhir beliau mengarahkan telefilem adalah menerusi Pesan Dari Tuhan yang pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2017.

Kepulangan figura seni ini ke kerusi pengarah pastinya amat dinantikan oleh peminat industri kreatif tempatan yang merindukan sentuhan ‘magis’ dan penceritaan bermutu tinggi daripada beliau.

Komen
Loading...