Selepas Hilang Lebih 2 Minggu, Kereta Bapa Ditemui Hangus Terbakar, Ada Transaksi Bank
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu
Keluarga warga emas yang hilang sejak 3 September lalu percaya lelaki berkenaan Sabari Baharom, 62, masih hidup dan dilarikan individu tidak dikenali.
Anak bongsu mangsa, Muhammad Amir Hakimi Sabari,25, berkata, ini kerana mereka telah mengenal pasti berlaku pemindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun bank seseorang tidak dikenali dengan jumlah yang agak besar.
“Pemindahan wang itu berlaku pada 4 dan 5 September. Kemudian selepas pihak polis meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) kelihatan seorang wanita tempatan yang melakukan transaksi berkenaan.
“Kami sekeluarga tidak ada sebarang masalah dengan ayah, jadi saya tidak rasa ayah bawa diri atau merajuk, kes ayah saya sekarang sudah dikategorikan sebagai kes jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Menurutnya, andaian mereka itu dikuatkan lagi apabila menemukan kereta Proton Waja milik Sabari dalam keadaan hangus terbakar di tempat pembuangan sampah di Pulau Belantik, Sik pada Jumaat.
“Peliknya ayah tak ada dalam kereta itu. Jadi saya yakin ayah dilarikan seseorang,” katanya.
Terdahulu, berita kehilangan Sabari itu dikongsikan sendiri oleh anaknya @syilla_syilla menerusi beberapa hantaran di aplikasi Instagram.
Dalam perkembangan terbaharu, @syilla_syilla turut memaklumkan kereta milik ayahnya telah dijumpai dalam keadaan ‘total lost’ dan terbakar di sebuah tempat pembuangan sampah.
“Kereta ayah dah ditemui. Kereta dibakar. Area Pulau Belatik. Tapi ayah tak ada dalam kereta,” katanya.