Selepas 21 Hari Dipenjara, Da’i Syed Dilepaskan Sementara Hingga Rayuan Didengar
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
SHAH ALAM – Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang kerana merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu, pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Syed Shah Iqmal, 29, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu, hingga rayuan didengar dan diputuskan.
Ia membabitkan rayuan bapa kepada seorang anak itu, atas keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Ogos lalu, yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan terbabit.
Ketika dihubungi, Datuk Abu Bakar mengesahkan perkara itu dan menyatakan bahawa, sesi pendengaran permohonan penggantungan pelaksanaan itu, dibuat mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, ia membabitkan Syed Shah Iqmal sebagai pemohon manakala pihak pendakwaan hadir selaku responden di Mahkamah Tinggi ini.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dengan beberapa syarat. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran syarat berkenaan secara terperinci.
Menurut Datuk Abu Bakar, pemohon turut diwakili peguam bela dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Muhammad Amin Othman.
Sementara itu, pengurusan kes rayuan terbabit menetapkan 24 September ini untuk pengurusan kes.
Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.
Hakim, Norazlin Othman memerintahkan lelaki itu dihukum serta-merta selepas didapati dia bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Semasa membaca keputusan penghakiman, beliau berkata, pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan.
Selain kes ini, dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.