Selepas 17 Tahun, Maya Karin & Saiful Apek Kembali Beraksi Dalam ‘Duyung Legenda Aurora’!
- oleh MDaily Editor
- 18 Dec 2025 2:24 pm
Kerinduan peminat terhadap naskhah fantasi ikonik, Duyung, akhirnya terubat apabila sekuel terbaharu berjudul Duyung Legenda Aurora bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 25 Disember ini.
Lebih mengujakan, filem terbitan KRU Studios, 8 Bit Studio, dan Primeworks Studios ini menyaksikan penyatuan semula dua teraju asal yang mencetuskan fenomena 17 tahun lalu, iaitu Maya Karin dan Saiful Apek.
Maya Karin yang kembali menyarung kostum Puteri Duyung, mengakui terharu dengan peluang untuk menghidupkan semula watak yang cukup dekat di hati penonton generasi 2000-an.

“Watak Puteri Duyung adalah sebahagian daripada kerjaya seni saya yang paling diingati. Kembali bekerjasama dengan Saiful Apek dan Yasmin Hani seperti satu ‘reunion’ keluarga besar yang penuh memori,” katanya.
Bagi Saiful Apek pula, watak Jimmy dalam sekuel ini akan memaparkan sisi yang lebih matang namun tetap mengekalkan elemen jenaka spontan yang menjadi identitinya.
Diarahkan oleh pengarah, Dato’ Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen, Duyung Legenda Aurora membawa plot lebih mendalam.

“Kami mahu menceriakan dan meningkatkan lagi warna-warna laut supaya lebih seimbang dengan elemen moden, sekali gus memberikan pengalaman visual yang lebih segar berbanding filem pertama,” jelas Dr. A. Razak mengenai sentuhan CGI dan visual dalam sekuel ini.
Selain barisan asal, filem ini turut diperkuatkan dengan kehadiran Anna Jobling sebagai Aurora, Ayie Floor88 sebagai Dashmond, Syaiful Zero sebagai Hamlau, Datuk Yusry Abdul Halim sebagai Dr. Evo.
Watak Aurora diterajui oleh pelakon popular masa kini, Anna Jobling, yang memberikan dimensi baharu kepada legasi filem ini sebagai anak kepada Puteri Duyung.
Kisah bermula apabila Puteri (Maya Karin) terpaksa meminta bantuan Jimmy (Saiful Apek) dan Aspalela (Yasmin Hani) selepas anaknya, Aurora, diculik oleh sindiket pukat tunda haram.
Kehangatan filem ini turut dirasai menerusi runut bunyi (OST) Happy nyanyian Datuk Seri Vida serta lagu romantis Hanya Kamu gandingan Shahir dan Adira.
Untuk rekod, filem Duyung yang ditayangkan pada 2008 pernah mencipta sejarah box office dengan kutipan RM4.7 juta dan memenangi Anugerah Khas Box Office di Festival Filem Malaysia ke-21.




