Selebriti & SAFI Shayla Suntik Semangat Murid di Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah
- oleh Mohd Indera
- 28 Feb 2025 7:13 pm

Program Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla membuktikan bahawa inspirasi boleh datang dalam pelbagai bentuk!
Dengan kehadiran selebriti popular dan inisiatif penjagaan diri oleh SAFI Shayla, lebih 1,000 murid di SMK Convent Kajang dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya pada 18 dan 27 Februari lalu menerima dorongan untuk lebih yakin dalam diri dan masa depan mereka.
Program anjuran TV3, Tonton, DIDIKTV KPM, dan SAFI Shayla ini bukan sekadar mencipta keseronokan, tetapi juga membimbing murid dalam membentuk keperibadian serta meningkatkan keyakinan diri.
Dengan pendekatan santai tetapi penuh inspirasi, selebriti jemputan berkongsi pengalaman mereka dalam industri hiburan serta memberikan motivasi kepada para pelajar untuk berani mengejar impian mereka.
Barisan selebriti terkenal seperti Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, Aizat Saha, Muaz Zabir, Syahir Shafein, Anim Ezati, Zarif Ghazzi, Sharul Kamal, Fitri Farok, Hakimi Noordin, Shah Sulaiman (Tapau), dan Nisa Kay menyemarakkan suasana dengan kehadiran mereka. Para murid teruja mendengar kisah kejayaan mereka serta bagaimana pendidikan dan media sosial memainkan peranan dalam membentuk kerjaya mereka hari ini.
Bagi murid-murid yang bercita-cita dalam bidang seni, perkongsian ini membuka mata mereka tentang kepentingan kerja keras, keberanian, serta bagaimana menggunakan platform digital untuk menonjolkan bakat mereka.
Selain hiburan dan motivasi, program ini turut memberi fokus kepada penjagaan diri, khususnya kepada murid perempuan yang berhijab.
SAFI Shayla, sebagai rakan kongsi utama, memperkenalkan inisiatif “Sis Shay, Inspirasi Hijabi”, di mana mereka berkongsi tip penjagaan rambut di sebalik hijab untuk memastikan kesihatan dan kesegaran rambut tetap terjaga.
Usaha ini bertepatan dengan misi SAFI Shayla untuk meningkatkan kesedaran bahawa keyakinan diri bermula dari penjagaan diri.
Dengan pengetahuan ini, murid-murid bukan sahaja dapat menjaga penampilan mereka tetapi juga lebih yakin untuk tampil ke hadapan dalam pelbagai bidang.
Selain sesi bersama selebriti dan perkongsian penjagaan diri, pelbagai aktiviti interaktif seperti Cergas+, LED Q&A, Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match, dan Tic Tac Toe turut diadakan.
Murid-murid bukan sahaja seronok bersaing dalam cabaran ini, tetapi juga dapat mengasah bakat, keberanian, dan kemahiran komunikasi mereka.
Lebih menarik, anugerah khas diberikan kepada peserta paling menyerlah dalam setiap aktiviti, antaranya “Terpaling Sporting”, “Terpaling Heboh”, “Terpaling Drama”, “Terpaling Girl Power”, dan “Rambut Hijab Terpaling Slay”.
Semua murid turut menerima sijil penyertaan, manakala sekolah menerima plak penghargaan sebagai tanda apresiasi dari pihak penganjur.
Maklum balas daripada peserta dan guru sangat menggalakkan. Ramai murid menyatakan mereka lebih bersemangat dan lebih yakin selepas menyertai program ini.
Guru-guru pula menyifatkan inisiatif ini sebagai sesuatu yang bermanfaat, interaktif, dan memberi kesan positif kepada perkembangan sahsiah murid.
Menurut Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, program ini membuktikan bahawa pendekatan yang santai tetapi berimpak tinggi dapat membantu pelajar lebih yakin dan berani menonjolkan potensi mereka.
“Kami mahu membantu mereka mengekspresikan bakat, meningkatkan keyakinan, dan merancang masa depan dengan lebih jelas. Terima kasih kepada pihak sekolah dan rakan kongsi seperti SAFI Shayla yang menjayakan program ini. Kami berharap lebih ramai murid akan mendapat manfaat daripadanya di lokasi seterusnya!” katanya.
Dengan kejayaan ini, Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bakal meneruskan misi mereka di sekolah lain!
Nantikan lokasi seterusnya dan bersiap sedia untuk pengalaman penuh inspirasi bersama selebriti dan SAFI Shayla!