Ikuti Kami:

Selangor Perkasa Bakat Muda Melalui STEP 2025 Di UiTM Shah Alam

Selangor Perkasa Bakat Muda Melalui STEP 2025 Di UiTM Shah Alam

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh ekosistem seni dan keusahawanan belia melalui penganjuran Selangor Art’s Entrepreneurship Programme (STEP 2025) yang akan berlangsung pada Sabtu, 25 Oktober 2025, bermula jam 8 pagi di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Keusahawanan Negeri Selangor dengan kerjasama Eighteen June Pictures itu dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung terdiri daripada penduduk setempat dan pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Fakulti Muzik UiTM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Gombak dan Kolej Muzik Kuala Lumpur.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Bin Halimi, berkata penganjuran STEP 2025 bukan sekadar acara seni, sebaliknya wahana strategik bagi membuktikan bahawa bidang seni dan muzik mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi kreatif.

“STEP 2025 bukan sekadar sebuah acara seni, tetapi juga platform untuk memperlihatkan bahawa bidang seni dan muzik boleh menjadi pemangkin ekonomi kreatif, membina daya saing usahawan muda dan mengangkat Selangor sebagai pusat rujukan bakat serta keusahawanan belia,” katanya.

Katanya, program tersebut turut menghimpunkan barisan artis tersohor tanah air termasuk lagenda punk rock negara, Subculture, selain persembahan khas daripada Man Kidal, Dato’ Ramli MS, Edrie Hashim, Qi Razali, Kombat Pilgrim, 53 Universe dan Dukes.

Selain mengetengahkan bakat anak muda dalam bidang seni muzik, program berkenaan juga memberi tumpuan kepada aspek keusahawanan sebagai dimensi penting dalam pembangunan belia.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan memperuntukkan RM5,000 kepada Fakulti Muzik UiTM Shah Alam bagi membantu 30 pelajar yang memerlukan sebagai tanda sokongan terhadap bakat muda negeri ini.

“Saya menjemput seluruh masyarakat, khususnya golongan belia dan mahasiswa di Selangor serta Lembah Klang, untuk hadir memeriahkan STEP 2025, mengambil peluang daripada pengisian yang ditawarkan, membina jaringan dan memperluas ilmu,” katanya lagi.

Program yang dijangka menjadi tumpuan belia dan komuniti kreatif itu turut menawarkan ruang pameran, perkongsian ilmu serta persembahan istimewa daripada tokoh muzik tempatan, selaras dengan usaha kerajaan negeri menyemarakkan aspirasi generasi muda Selangor.

Komen
Loading...