Ikuti Kami:

Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 Bakal Gegar Setia Alam

Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 Bakal Gegar Setia Alam

Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 bakal kembali sebagai antara festival Raya terbesar di negeri ini apabila dianjurkan selama 96 jam tanpa henti di Hall 1 dan 2, Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam bermula 12 hingga 16 Mac tahun depan.

Festival jualan dan gaya hidup berteraskan sambutan Aidilfitri itu dijangka menjadi tumpuan lebih 1.5 juta pengunjung apabila menghimpunkan 350 usahawan dan 60 vendor makanan merangkumi pelbagai kategori termasuk persiapan Syawal, fesyen, dekorasi serta keperluan keluarga.

Penganjuran festival tersebut turut mendapat kerjasama Pejabat Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri selaras dengan aspirasi memperkasa usahawan tempatan serta merancakkan ekonomi komuniti di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Datuk Muhammad Firdaus Nadzaman berkata, festival ini bukan sekadar platform membeli-belah, sebaliknya sebuah acara berimpak tinggi yang menyatukan elemen hiburan, keagamaan, kekeluargaan dan keusahawanan.

“Penganjuran festival ini bertujuan merancakkan sambutan Aidilfitri di samping memperkasa usahawan tempatan, mengukuhkan jaringan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti secara mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan Majlis Pelancaran Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 yang disempurnakan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi di SCCC, Setia Alam hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi (COO) Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Faizul Mohd Yusof.

Mengangkat tema ‘Havoc-nya Raya di Kampung’, festival ini menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi mencipta suasana Syawal yang penuh nostalgia, meriah serta mesra keluarga.

Antara pengisian utama termasuk bazar berbuka puasa, jualan persiapan Aidilfitri, promosi ‘happy hour sale’ serta aktiviti interaktif untuk semua peringkat umur.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, penganjuran Selangor Havoc Raya Fest yang pertama pada April lepas berjaya mencatat jumlah kehadiran pengunjung seramai 1.2 juta dengan transaksi perbelanjaan sekitar RM10 juta.

Beliau menambah, festival ini antara inisiatif kerajaan negeri untuk bantu bukan sahaja usahawan-usahawan sedia ada, tetapi turut memberikan ruang kepada usahawan baharu yang memulakan perniagaan hasil kerjasama dengan Havoc dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Bagi tahun depan kita menyasarkan angka yang sama dan mungkin boleh ditingkatkan lagi. Ia bukan sekadar penganjuran program buat masyarakat berbelanja dan mendapatkan pilihan produk berkualiti, tetapi mampu merancakkan ekonomi dan membuka pintu rezeki kepada para usahawan serta vendor yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, menurut Faizul, selain aktiviti jualan, festival ini turut dimeriahkan dengan persembahan pentas, kehadiran artis dan pempengaruh, aktiviti kanak-kanak, serta program keagamaan seperti buka puasa, solat tarawih dan bersahur beramai-ramai.

“Sebagai tarikan tambahan, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta, selain pelbagai hadiah menarik lain sepanjang festival berlangsung,” katanya.

Menariknya, Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 turut menampilkan barisan pengacara popular tanah air iaitu Fad Bocey, Sharif Zero, Danial Zaini serta gandingan Epul dan Talam yang bakal menyemarakkan suasana festival sepanjang penganjuran.

Orang ramai dijemput hadir dan bersama-sama memeriahkan festival tersebut bagi menikmati pengalaman sambutan Aidilfitri yang lebih meriah, inklusif dan bermakna.

Komen
Loading...