Ikuti Kami:

Selangor Future Cup 2025: Transformasi Esports ke Arah Pendidikan & Kerjaya

Selangor Future Cup 2025: Transformasi Esports ke Arah Pendidikan & Kerjaya

Selangor Future Cup 2025 bukan sekadar kejohanan Mobile Legends Bang Bang (MLBB), tetapi juga satu inisiatif penting dalam membangunkan laluan pendidikan dan kerjaya bagi pemain muda esports.

Dengan sokongan penuh daripada Pejabat Pendidikan Selangor, Majlis Sukan Selangor, Kerajaan Negeri Selangor serta Selangor Red Giants (SRG) kejohanan ini membuktikan bahawa esports mampu menjadi platform pembangunan masa depan pelajar.

Menurut Ikmal Fareeq, Ketua Pegawai Eksekutif TODAK Fusion Sdn Bhd, kejohanan ini bukan sahaja mengiktiraf bakat pemain tetapi juga memberi mereka peluang pendidikan yang lebih luas.

“Kami mahu mengubah persepsi terhadap esports. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga laluan kerjaya yang boleh diiktiraf secara akademik,” katanya.

Selangor Future Cup 2025 mengambil langkah berani dengan menawarkan biasiswa penuh kepada pemenang kejohanan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan esports, animasi, dan pembangunan kandungan digital melalui Todak Academy.

Program ini diiktiraf di bawah TVET dan menyediakan Diploma Kemahiran Malaysia bernilai kira-kira RM31,600 bagi setiap peserta yang layak.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan pelajar peluang kerjaya yang jelas dalam esports. Dengan diploma ini, mereka boleh menjadi pencipta kandungan, penganalisis esports, pengurus pasukan, dan juga penggiat industri kreatif lain,” tambah Ikmal.

Kejohanan yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025 di AEON Mall Shah Alam ini menyaksikan penyertaan sengit dari 64 sekolah di seluruh Selangor.

SMK Kota Kemuning muncul juara Selangor Future Cup 2025 selepas menewaskan pesaing mereka dalam perlawanan akhir yang mendebarkan.

Sebagai juara, mereka membawa pulang hadiah lumayan termasuk wang tunai RM5,000, berlian bernilai RM20,000, serta biasiswa penuh bernilai RM160,000 bagi Diploma Kemahiran Malaysia tajaan TODAK di bawah Todak Academy.

Selain itu, sekolah tersebut turut menerima RM30,000 untuk pembangunan hab e-sukan, trofi, pingat, dan barangan eksklusif daripada Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK.

TODAK menekankan dua matlamat utama melalui kejohanan ini: pembangunan atlet dan pendidikan. Dengan pendekatan ini, pelajar tidak hanya dilatih sebagai pemain tetapi juga sebagai individu yang bersedia untuk industri esports secara profesional.

“Kami ingin memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka boleh membina masa depan dalam esports dengan laluan pendidikan yang jelas. Ini adalah masa depan di mana bakat dan akademik boleh berjalan seiring,” kata Ikmal.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, Ikmal berharap Selangor Future Cup akan menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain dalam membangunkan esports sebagai platform pendidikan dan kerjaya.

Kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Selangor, Kerajaan Negeri Selangor, TODAK, dan KITA SELANGOR, serta mendapat sokongan daripada TODAK Academy, AEON Malaysia, GGMY, dan MSL.

Dengan langkah ini, Selangor Future Cup 2025 bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga simbol transformasi esports ke arah masa depan yang lebih cerah bagi pelajar di Malaysia.

Komen
Loading...