Selangor Future Cup 2025: TODAK Academy Tawar Biasiswa RM160,000 kepada Pemenang
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Selangor Future Cup 2025 bukan sekadar pertandingan e-sukan antara 64 sekolah menengah dalam Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), tetapi juga menjadi platform mencorakkan masa depan lebih cerah untuk para pemenang.
Sebagai tanda sokongan kepada pembangunan e-sukan peringkat sekolah, TODAK Academy menawarkan biasiswa berjumlah RM160,000 kepada enam pelajar terbaik dalam kejohanan ini bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Kemahiran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TODAK Academy, En. Taufik Rizal, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya dalam mencungkil bakat muda e-sukan dari peringkat akar umbi.
“Kami percaya e-sukan bukan sekadar hiburan, tetapi juga medan untuk membangunkan kemahiran dan membuka peluang pendidikan. Biasiswa yang disediakan ini bukan hanya sebagai penghargaan kepada pemenang, tetapi juga sebagai langkah menyokong mereka membina masa depan dalam industri digital yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap e-sukan, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang masih skeptikal dengan potensi bidang ini.
“Kami berharap ibu bapa dapat melihat bahawa program e-sukan ini bukan sekadar permainan, tetapi juga mampu memberikan nilai akademik yang tinggi serta membuka peluang lebih besar untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma,” tambahnya.
Majlis pelancaran kejohanan ini telah disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor, Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi di AEON Hall, Aras 4, AEON Mall Shah Alam pada Khamis.
“E-sukan kini semakin berkembang sebagai satu industri yang berpotensi besar, dan Selangor Future Cup 2025 bukan sekadar kejohanan, tetapi juga peluang untuk anak muda mengembangkan kerjaya mereka dalam bidang ini. Dengan penajaan biasiswa dari TODAK Academy, pelajar berbakat dapat terus maju bukan sahaja sebagai pemain, tetapi juga sebagai profesional dalam industri e-sukan dan teknologi digital,” katanya.
Kejohanan yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025 di AEON Mall Shah Alam ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Selangor, Kerajaan Negeri Selangor, TODAK, dan KITA SELANGOR, serta mendapat sokongan daripada TODAK Academy, AEON Malaysia, GGMY, dan MSL.
Selain itu, Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK turut memainkan peranan dalam memberikan bimbingan profesional kepada peserta sepanjang kejohanan. Dengan 64 sekolah bertanding untuk merebut kejuaraan, Selangor Future Cup 2025 dijangka menjadi medan penting untuk mencungkil bakat muda dan membina masa depan industri e-sukan negara.
Foto: Papadin.